Search

Inkues kematian arwah Zara berlarutan hingga selepas PRN

September 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dijadual selesai pada 30 September dijangka berlarutan sehingga selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Peguam Datuk Ram Singh, berkata jangkaan itu berdasarkan ramai saksi belum memberi keterangan, selain ada tambahan saksi yang akan dikemukakan oleh pihak berkepentingan.

“Kami ada buat penilaian berapa ramai saksi lagi perlu dipanggil dan dalam hal ini kami mungkin tambah seorang lagi. Besar kemungkinan kami akan panggil seorang lagi pakar.

“Peguam keluarga Zara juga ada sebut berapa saksi mereka mahu, ditambah lagi dengan peguam lain. Jadi cara kes ini berjalan mungkin akan melangkaui tempoh pilihan raya, Disember pun tidak habis,” katanya pada sidang media selepas selesai prosiding, di sini, hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka dibubarkan pada akhir Oktober atau awal November depan, iaitu sebelum tarikh tamat DUN sekarang yang dijadual pada 11 November depan.

Berikutan itu, PRN17 mungkin diadakan pada akhir November atau awal Disember depan, bergantung kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan menetapkan tarikh penting proses pilihan raya selepas DUN dibubarkan.

Terdahulu, rakan guaman Ram, Joan Goh, berkata berdasarkan analisis dibuat Koroner Amir Shah Amir Hassan, perjalanan prosiding inkues itu baru mencapai 19 peratus setakat ini.

“Berdasarkan senarai saksi yang kita terima, sebab asalnya memang dijadualkan sampai 30 September. Tapi, sekarang kita baru ada 14 daripada 68 saksi, jadi baru sekitar 19 peratus daripada kes ini,” katanya. – Info X