KOTA KINABALU: Peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina mengesahkan tiga lagi pakar akan hadir ke mahkamah bagi meneliti barang kes dalam inkues kematian arwah Zara Qairina, di sini, esok.
Shahlan Jufri berkata, rakan guamannya, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh akan memberi taklimat kepada media mengenai pakar terbabit.
“Ya, besok ada tiga lagi pakar akan hadir bagi membantu inkues. Peguam kami, Mohd Syarulnizam akan memberikan taklimat esok,” katanya.
Terdahulu, kehadiran tiga pakar itu didedahkan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah, Marhamah Rosli melalui hantaran di akaun Facebook beliau.
Dalam hantarannya, Marhamah berkata ketiga-tiga pakar itu akan membantu inkues untuk mencari kebenaran mengenai punca kematian arwah Zara Qairina.
“Esok, insyaAllah, tiga orang pakar akan hadir ke mahkamah untuk meneliti bahan bukti bagi membantu inkues Almarhumah Zara Qairina.
“MasyaAllah, pencapaian mereka bukan calang-calang, pertama pakar yang pernah terlibat dalam kes berprofil tinggi negara, diiktiraf kepakarannya di peringkat nasional.
“Kedua pensyarah kanan bidang Forensik Sains di universiti terkemuka, sering menjadi rujukan agensi penyiasatan rasmi.
“Ketiga, pakar forensik berpengalaman luas, yang biasa mengendalikan bukti saintifik dalam kes jenayah kompleks.
“Bayangkan, tenaga pakar yang biasanya hanya turun untuk kes-kes mega negara kini hadir sendiri ke Sabah demi perjuangan seorang anak kecil yang tidak dapat membela diri lagi,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Khamis lalu, seorang pakar tulisan tangan dari Kuala Lumpur hadir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bagi melakukan pemeriksaan terhadap dokumen dan diari yang didakwa milik Allahyarham Zara Qairina.
Marhamah berkata, kehadiran pakar yang akan membantu dalam inkues itu adalah atas usaha pasukan peguam ibu arwah Zara Qairina.
Katanya, usaha itu tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa barisan peguam yang sangat teliti, sabar dan bekerja siang malam untuk memastikan setiap sudut perundangan terjaga.
Selain itu, katanya usaha itu juga dibantu masyarakat prihatin yang memberikan sumbangan dan tidak jemu menitipkan doa serta sokongan walau apapun fitnah dan tohmahan yang dilemparkan.
“Setiap sumbangan, doa dan sokongan ini telah membuka jalan sehingga para pakar bertaraf nasional sudi turun padang. Bahkan ada dari kalangan masyarakat yang kerja siang malam bagi memastikan urusan-urusan pakar ini berjalan lancar,” katanya. – Info X