Search

Inkues kematian Zara: Arwah dan seorang individu lain adalah penulis bersama buku yang diperiksa pakar Jabatan Kimia

September 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner, di sini, diberitahu bahawa sebuah buku yang mengandungi dua jenis tulisan tangan berbeza ketika pemeriksaan pakar dari Jabatan Kimia ditulis oleh dua individu.

Pemeriksa Dokumen Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh mendedahkan bahawa muka surat pertama buku yang ditanda sebagai ‘W3’ itu mengandungi dua jenis tulisan tangan.

“Ada dua gaya tulisan yang berbeza (di muka pertama buku itu). Ada dua nama sebagai pemilik di muka surat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyambung keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, pada prosiding inkues petang tadi.

Nurul Atiqah memberitahu perkara itu kepada mahkamah selepas ditanya Pegawai Pengendali Inkues, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Dana Arabi Wazani sama ada buku itu ditulis oleh dua penulis.

Saksi kedua inkues kematian Allahyarham Zara itu juga memberitahu mahkamah bahawa penulis buku itu dan seorang lagi penulis lain menulis bersilih ganti pada tarikh yang berbeza.

“Tulisan tangan yang dipertikaikan di W3 pada muka surat tiga hingga enam, 15 hingga 24, 38 hingga 45, 47 hingga 57, 65 hingga 72 dan 90 hingga 103 menunjukkan persamaan ketara yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan contoh (ditandakan sebagai) ‘SA’.

“Sehubungan itu, saya berpendapat bahawa tulisan tangan yang dipertikaikan adalah ditulis oleh penulis contoh.

“Tulisan tangan yang dipertikaikan dalam W3 pada muka surat dua, tujuh hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89 menunjukkan perbezaan ketara dalam ciri-ciri tulisan tangan daripada tulisan tangan contoh ‘SA’.

“Oleh itu, saya berpendapat bahawa tulisan tangan yang dipertikaikan bukan ditulis oleh penulis contoh,” katanya.

Nurul Atiqah berkata, beliau membuat perbandingan berdasarkan tulisan tangan contoh atas nama Zara Qairina di sebuah buku latihan dan dua buku teks sekolah.

Nurul Atiqah memeriksa sebanyak 15 helaian kertas, empat buku nota dan dua buku teks yang mengandungi tulisan tangan bagi menentukan sama ada tulisan terbabit milik arwah Zara Qairina atau bukan.

Beliau yang bertugas sebagai Pemeriksa Dokumen di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya mempunyai pengalaman kerja selama 21 tahun sebagai pegawai sains.

Tugas beliau ialah menerima kes dan menyediakan laporan kimia serta menjalankan pemeriksaan dokumen yang dipertikaikan membabitkan pemeriksaan seperti tandatangan, tulisan tangan, tulisan taip, pindaan, proses percetakan, kertas dan dakwat. – Info X