KOTA KINABALU: Ibu saudara Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner mengenai kesan kecederaan dan lebam di tubuh arwah yang dikesan ketika dirawat dan semasa pengurusan jenazahnya di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, pada 17 Julai tahun lalu.
Nur Shira Abdullah, 46 yang juga kakak ipar ibu arwah Zara, Noraidah Lamat yang memberi keterangan pada inkues kematian Zara di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, di sini, pada Selasa, mengaku melihat sendiri kecederaan arwah.
Dalam Keterangan bertulisnya, Nur Shira menceritakan apa yang dilihatnya bermula dari keadaan di bahagian kepala hingga kaki arwah Zara dan penjelasan doktor mengenai kecederaan yang dialami arwah.
“Semasa melihat Zara di hospital dan semasa pengurusan jenazah, saya ada memerhatikan keadaan fizikal arwah. Pada bahagian kepala terdapat kawasan rambut yang dicukur namun saya tidak melihat luka terbuka besar atau kesan jahitan.
“Pada bahagian kepala sebelah kiri berhampiran kawasan rambut yang dicukur, apabila saya menyentuhnya, saya merasakan keadaan seperti lembik dan berair di bahagian dalam kepala.
“Pada bahagian belakang badan, saya melihat kesan lebam yang jelas terutama di kawasan rusuk dalam bentuk garis panjang dari pinggang hingga ke bahu dan lebam tersebut kelihatan berwarna biru kehitaman,” katanya.
Saksi itu memberitahu mahkamah, beliau juga melihat kesan lebam halus seperti urat yang menjalar di bahagian belakang badan arwah, manakala bahagian tangan dan kaki kiri Zara dibalut oleh pihak hospital dan mendapati tubuh Zara kelihatan kekuningan.
Katanya, beliau tidak melihat tulang kaki yang terkeluar secara luaran, namun melihat keadaan buku lali arwah Zara yang kelihatan terkehel.
Nur Shira yang menetap di Kuala Lumpur, sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa beliau dimaklumkan oleh Noraidah mengenai insiden menimpa Zara melalui aplikasi WhatsApp pada jam 10.20 pagi, 16 Julai tahun lalu sebelum segera membeli tiket penerbangan ke Kota Kinabalu.
Ketika di hospital, katanya beliau ada bercakap dengan seorang doktor wanita bertugas di wad yang menjelaskan kepadanya mengenai keadaan kecederaan Zara berdasarkan laporan perubatan yang dibacanya.
Katanya, ia termasuk kecederaan serius pada bahagian kepala, kerosakan teruk pada tengkorak dan keadaan otak yang tidak lagi berfungsi.
“Doktor juga menerangkan kemungkinan terdapat kerosakan pada saraf tunjang belakang akibat impak yang kuat, patah pada tulang dan kaki serta kecederaan pada buku lali kiri.
“Doktor itu turut memaklumkan kemungkinan berlaku pendarahan dalaman yang teruk sehingga menyebabkan kegagalan fungsi organ,” katanya.
Beliau berkata, doktor terbabit menjelaskan kepadanya bahawa prosedur CPR atau tekanan dada untuk membantu pernafasan dan edaran darah serta penggunaan mesin kejutan elektrik jantung tidak dapat dilakukan kerana keadaan pesakit ketika itu sangat kritikal.
Katanya, ia disebabkan keadaan pembengkakan yang teruk dan prosedur itu tidak sesuai serta tidak memberi manfaat kepada pesakit pada ketika itu.
Sementara itu, ketika tiba di HQE pada 17 Julai tahun lalu, Nur Shira berkata beliau melihat arwah Zara dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal sebelum dimaklumkan oleh doktor bahawa keadaan Zara sangat serius dan berada dalam keadaan ‘brain death’.
“Zara dipantau menggunakan
mesin bantuan pernafasan dan mesin pemantauan jantung. Namun, pada jam lebih kurang jam 1 tengah hari, mesin pemantauan jantung terpadam secara tiba-tiba dan saya memaklumkan perkara tersebut kepada jururawat.
“Jururawat kemudian datang dan memeriksa keadaan tersebut serta memaklumkan pemantauan akan dilakukan dari kaunter depan. Doktor ada datang memeriksa Zara tetapi tidak memberikan penjelasan khusus kepada saya ketika itu,” katanya.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa pihak hospital juga beberapa kali menyarankan agar keluarga menimbangkan untuk menghentikan bantuan pernafasan oksigen pada 16 dan 17 Julai 2025, dengan penjelasan kemungkinan komplikasi jika rawatan diteruskan.
Pada awal, katanya keluarga bersetuju berdasarkan penjelasan itu, namun proses untuk menghentikan mesin tidak sempat dilakukan kerana mesin pemantau jantung terhenti secara tiba-tiba tanpa sebarang tindakan daripada mana-mana pihak.
Nur Shira menjelaskan, beliau berada di hospital bersama Zara kerana ibu arwah dan suaminya mengaturkan urusan laporan polis.
Katanya, Zara disahkan meninggal dunia sekitar antara jam 4 hingga 4.30 petang oleh seorang doktor yang bertugas bersama seorang pegawai penyiasat polis sebagai saksi. – Info X