Search

Inkues kematian Zara: Keluarga diberi penerangan terperinci keadaan kritikal arwah – saksi

September 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu, keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir diberi penerangan terperinci mengenai keadaan arwah yang kritikal pada 16 Julai lalu.

Pegawai Perubatan Jabatan Bedah Saraf Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Pavankumar Balachandran, berkata ia berkaitan ketiadaan refleks batang otak yang menandakan prognosis sangat buruk dialami arwah.

Saksi keempat inkues kematian arwah Zara itu menjelaskan perkara berkenaan ketika membaca keterangan bertulisnya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada petang Selasa.

“Pesakit diuruskan secara bersama oleh pasukan multidisiplin melibatkan Jabatan Kecemasan, Pembedahan Am, Ortopedik dan Anestesia Am.

“Selepas penilaian pasukan Bedah Saraf, satu sesi penerangan kepada keluarga telah diadakan untuk memaklumkan keadaan kritikal pesakit.

“Keluarga diberi penerangan terperinci mengenai ketiadaan refleks batang otak yang menandakan prognosis yang sangat buruk.

“Pesakit kemudiannya dimasukkan ke Wad Bedah Saraf, diiringi oleh kakitangan Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE pada 16 Julai 2025 jam 6.40 petang. Di wad, pesakit tidak menunjukkan tanda-tanda klinikal ke arah pemulihan,” katanya.

Katanya, keadaan pesakit semakin merosot dan akhirnya meninggal dunia pada jam 1.07 tengah hari pada 17 Julai 2025 dengan punca kematian adalah kecederaan otak traumatik teruk dengan ensefalopati hipoksik iskemik.

Berikutan itu, katanya pegawai penyiasat kemudian dimaklumkan mengenai kematian itu dan mayat disimpan di wad sehingga ketibaan pegawai penyiasat.

“Saya telah menerangkan kepada pegawai penyiasat dan ibu si mati mengenai punca kematian. Selepas perbincangan pegawai penyiasat dengan ibu si mati, beliau mengarahkan supaya mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik.

“Saya telah menyediakan laporan perubatan berhubung penemuan saya bertarikh 28 Julai 2025,” katanya. – Info X