Search

Inkues kematian Zara: Koroner lawat lokasi arwah ditemui tidak sedarkan diri

September 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir bersambung pagi ini dengan lawatan Koroner ke lokasi arwah ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai lalu.

Koroner Amir Shah Amir Hassan akan melihat sendiri lokasi itu di Kinarut, Papar dengan disertai kakitangan mahkamah, pegawai pengendali dan peguam yang mewakili anak guam masing-masing dalam inkues berkenaan.

Bagaimanapun, Koroner mengehadkan kehadiran peguam sepanjang lawatan itu yang dijadual pada jam 9.30 pagi atas faktor lokasi di kawasan sekolah dan keselamatan.

Pihak media pula tidak dibenarkan memasuki kawasan lokasi atas faktor yang sama.

Dalam inkues itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohd Fairus Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan dan Dacia Jane Romanus serta Timbalan Ketua II Bahagian Pendakwaan, Datuk Badiuszaman Ahmad selaku Pegawai Pengendali.

Peguam pula terdiri daripada pasukan mewakili ibu arwah, Noraidah Lamat, iaitu Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser selaku pihak berkepentingan.

Turut dibenarkan sebagai pihak berkepentingan ialah bapa arwah Zara, Mahathir Hashim @ Marikin yang diwakili peguam Sherzali Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Selain mereka, turut dibenarkan sebagai pihak berkepentingan ialah peguam mewakili lima tertuduh remaja kes buli di Mahkamah Kanak-Kanak, Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan bagi seorang tertuduh.

Bagi empat lagi tertuduh remaja diwakili Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan.

Lawatan ke lokasi kejadian pada hari ini turut disertai saksi pertama inkues iaitu Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu.

Semalam, peguam Joan Goh pada sidang media selepas selesai inkues memaklumkan akan membawa satu patung untuk melakukan simulasi kejadian pada lawatan tapak hari ini.

Selesai di lokasi kejadian, prosiding inkues dijangka diteruskan di Mahkamah Koroner petang ini untuk sekali lagi mendengar keterangan Dr Jessie Hiu dan menyambung keterangan seorang pengawal keselamatan.

Semalam, pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, memberi keterangan mengenai arwah Zara yang ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama ketika bertugas bermula pada jam 8 malam 15 Julai hingga jam 8 pagi 16 Julai lalu.

Beliau mendedahkan dimaklumkan oleh seorang pelajar yang ternampak seorang pelajar pengsan dalam keadaan terlentang di longkang asrama dan mengenali mangsa sebagai Zara.

Sebelum beliau, seorang anggota polis, Inspektor Maidon Bernadus, yang menjalankan simulasi kejadian di asrama arwah Zara pada 3 Ogos lalu menyambung keterangan mengenai patung yang digunakan pada simulasi itu ketika prosiding semalam. – Info X