Search

Inkues kematian Zara: Peguam ibu arwah ambil langkah hati-hati

September 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengambil langkah berhati-hati berhubung prosiding inkues kematian arwah Zara yang baru saja bermula petang tadi.

Peguam Shahlan Jufri, berkata pihaknya tidak mahu melebihi Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pakar Patologi, Dr Jessie Hiu yang memberi keterangan sebagai saksi pertama.

“Kita sudah bermula dengan saksi pakar, Dr Jessie, tapi soalan dan pemeriksaan belum habis, akan bersambung besok pagi.

“Jadi apa yang dikatakan, keterangan Dr Jessie itu akan bersambung besok pagi dan buat masa ini kami tidak mahu melebihi daripada pakar dan AGC.

“Kita kena berhati-hati sebab takut nanti akan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada AGC, kepada mahkamah sebab prosiding masih berjalan,” katanya.

Beliau bersama rakan guamannya ditemui selepas selesai prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Shahlan berkata, prosiding inkues baru saja bermula dan masih di peringkat yang sangat awal.

“Sebab belum separuhpun, masih banyak lagi, ini masih peringkat awal, sangat awal. Kita baru di permulaan,” katanya. – Info X