Search

Inkues kematian Zara: Pelajar senior memarahi junior budaya biasa di asrama – saksi

September 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa tabiat pelajar senior memarahi atau menegur secara keras adalah budaya biasa dalam kalangan pelajar asrama.

Perkara itu dinyatakan saksi kelima kanak-kanak dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Peguam mewakili ibu arwah, berkata saksi berkenaan menyebut bahawa pelajar junior mesti melalui pengalaman berkenaan.

“Saksi menyatakan bahawa tabiat pelajar senior memarahi atau menegur secara keras adalah budaya biasa dalam kalangan kawan-kawan pelajar asrama.

“Pelajar junior dianggap mesti melalui pengalaman tersebut kerana mereka sebagai pelajar senior sebelum ini juga mengalaminya,” katanya.

Ibu arwah diwakili peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Peguam berkata, saksi ke-13 inkues berkenaan juga menyatakan bahawa dia rapat dengan kumpulan Circle 19, iaitu 19 orang pelajar yang sering melakukan aktiviti bersama.

Katanya, saksi juga menyatakan bahawa kata-kata kasar seperti ‘bodoh, sial’ yang digunakan oleh salah seorang ahli Circle 19 terhadap Zara adalah bersama kawan-kawannya.

“Saksi juga mengambil inisiatif untuk mengenal pasti guru yang merampas telefon bimbit seorang pelajar pada pagi kejadian, kerana penggunaan telefon tidak dibenarkan di ‘dorm’,” katanya.

Saksi itu juga katanya menegaskan bahawa Allahyarham Zara Qairina adalah seorang pelajar ceria, peramah dan tidak menunjukkan tanda masalah mental atau tekanan emosi sebelum kejadian. – Info X