KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu mengenai kewujudan amalan membuat ‘barcode’ dalam kalangan pelajar asrama.
Saksi kanak-kanak ke-13 inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa dia melihat sendiri ada pelajar membuat amalan itu.
Peguam mewakili ibu arwah Zara diketuai Shahlan Jufri, berkata saksi ke-22 inkues itu turut mengaku pernah melakukan amalan itu.
Katanya, amalan itu ialah menunjukkan luka di tangan yang dibuat dengan menoreh di lengan menggunakan ‘cutter’.
Saksi katanya memberitahu mahkamah bahawa amalan itu kebiasaannya dibuat sendiri oleh pelajar tetapi tidak ditunjukkan kepada rakan lain.
“Saksi berkata bahawa ketika dia junior, saksi nampak beberapa rakan saksi dan pelajar ‘batch’ saksi membuat amalan ‘barcode’. Amalan ini menunjukkan luka di tangan dan dibuat dengan menoreh di lengan menggunakan cutter.
“Amalan tersebut biasanya dibuat sendiri oleh beberapa pelajar dan biasanya tidak ditunjukkan kepada rakan lain.
“Saksi sendiri juga ada membuat ‘barcode’ dan dia buat kerana terikut-ikut dengan ‘trend batch’ rakan. Saksi pernah membuat ‘barcode’ sebanyak tiga kali,” katanya menceritakan semula keterangan saksi selepas selesai prosiding, pada Selasa.
Beliau berkata, saksi turut memberitahu mahkamah bahawa guru dan warden di asrama juga tahu mengenai amalan ‘barcode’ itu tetapi tidak tahu bagaimana mereka mengetahui mengenai perkara itu.
Sementara itu, katanya saksi berkenaan turut menceritakan mengenai kumpulan pelajar Circle 19 yang ada membuat dua helai baju.
Katanya, baju pertama berwarna coklat bertulis ‘NINETEEN’ di bahagian tengah hadapan baju dan satu lagi berwarna biru dengan tulisan ‘NINETEEN’ serta logo NT yang bermaksud NINETEEN di dada sebelah kiri atau kanan.
“Saksi juga berkata ada beberapa ahli kumpulan Circle 19 pernah dipanggil guru disiplin atau guru kaunseling atas salah laku kerana didapati membawa ‘handphone’ di asrama pada sekitar Jun dan Julai 2025.
“Saksi turut berkata bahawa guru-guru tidak tahu jika mereka bersikap kasar kepada pelajar lain. Saksi berkata mereka cuma ikut amalan yang lalu dan mereka sendiri pernah diperlaku sedemikian ketika menjadi pelajar junior.
“Saksi berkata amalan lalu yang mereka ikut adalah amalan pelajar senior memarahi pelajar junior secara beramai-ramai. Saksi sendiri mengaku pernah kena marah bersama rakan lain oleh pelajar senior secara beramai-ramai,” katanya.
Terdahulu, katanya saksi menyatakan bahawa pada malam 15 Julai lalu, dia bersama seorang rakan senior lain dipanggil oleh pelajar lain untuk membantu ‘menyelesaikan kes melibatkan Zara’ berhubung tuduhan kes mencuri seorang pelajar junior.
Katanya, saksi menyatakan bahawa dia diminta untuk mengikut pelajar senior lain bertanya dengan Zara berhubung dakwaan itu.
“Saksi berkata dia diberitahu bahawa terdapat satu tuduhan kes mencuri dahulu melibatkan Zara, mengenai kad bank pelajar junior yang sama.
“Saksi mengesahkan bahawa saksi sendiri dan rakan-rakannya menyoal Zara mengenai kes kecurian. Saksi menjelaskan mereka bergilir-gilir menyoal Zara dan saksi sendiri ada bertanya kepada Zara ‘Adakah kamu ada mencuri? Kalau ada kamu cakap iya saja’,” katanya.
Bagaimanapun katanya, saksi berkenaan memberitahu mahkamah bahawa arwah Zara tidak menjawab soalan mereka dan hanya mendiamkan diri. – Info X