KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini akan mendengar sambungan keterangan saksi anggota polis yang membuat simulasi kejadian di lokasi arwah Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Saksi kelima yang memberi keterangan sejak petang semalam, Inspektor Maidon Bernadus juga membawa patung yang digunakan ketika simulasi pada 3 Ogos lalu itu.
Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu diminta oleh peguam untuk membawa patung berkenaan bagi melihat kerosakan yang berlaku selepas simulasi terbabit ketika inkues semalam.
Permintaan itu dibuat peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang daripada lima tertuduh kanak-kanak yang berdepan kes buli di Mahkamah Kanak-Kanak.
Pada Selasa, Maidon menerangkan kaedah simulasi dijalankan iaitu dengan menjatuhkan sebuah patung dengan berat 53 kilogram, menyamai Allahyarham Zara dari tingkat tiga koridor asrama sekolah arwah.
Katanya, sebanyak dua jatuhan dilakukan, pertama dibuat dengan patung dijatuhkan terus secara tegak lurus dari koridor tanpa daya dorongan atau tolakan ke hadapan, manakala simulasi kedua dibuat dengan patung dijatuhkan sambil menggunakan daya tolakan atau dorongan secara minima ke hadapan dari koridor.
Beliau mendedahkan hasil simulasi pertama, mendapati jarak antara kedudukan jatuhan patung mendarat dan dinding bangunan asrama di aras bawah adalah 2.14 meter, manakala hasil simulasi kedua, jarak antara kedudukan jatuhan patung mendarat dan dinding bangunan asrama aras bawah adalah 3.45 meter.
Secara keseluruhan, beliau berkata berdasarkan simulasi itu, pihaknya mendapati simulasi pertama iaitu jatuhan patung ke bawah tanpa daya tolakan atau dorongan adalah hampir dengan kedudukan mangsa melalui siasatan awal pegawai penyiasat.
Selain Maidon, dua doktor dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) turut memberi keterangan semalam, masing-masing Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE, Dr Janefer Voo dan Pegawai Perubatan Jabatan Bedah Saraf HQE, Dr Pavankumar Balachandran.
Kedua-dua mereka menerangkan tindakan awal rawatan terhadap arwah ketika dibawa ke HQE pada jam 4.38 pagi 16 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini dijangka berlangsung sehingga tengah hari bagi membolehkan Mahkamah Koroner membuat persiapan lawatan tapak di lokasi kejadian yang dijadual esok. – Info X