Search

Inkues kematian Zara: Saksi nafi arwah dibuli atau ditindas

September 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak dibuli atau ditindas oleh pelajar senior sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu.

Peguam Azhier Farhan Arisin, berkata perkara itu dijelaskan saksi kelima kanak-kanak ketika beliau memintanya menyimpulkan kejadian pada malam 15 Julai lalu, iaitu sebelum arwah Zara ditemui tidak sedarkan diri.

Katanya, saksi itu menafikan arwah Zara didera, diaibkan, ditindas dan ditertawakan mengenai mahu menjadi BADAR atau Badan Dakwah dan Rohani sekolah dan perkara lain ketika perjumpaan dengan pelajar senior pada malam itu, selain menafikan pembabitan pelajar Circle 19 dalam kes kematian arwah Zara Qairina.

“Soalan yang saya minta dia simpulkan, saya tanya begini –
Jadi kesimpulan daripada keterangan kamu, pengalaman adik dan penglihatan adik sendiri, bolehkah kalau abang katakan Zara ini dibuli dan ditindas oleh pelajar B, pelajar C, pelajar D dan pelajar E sehingga membawa kepada kematiannya?

“Jawab saksi adalah tidak. Jadi ini adalah keterangan-keterangan daripada saksi tersebut,” katanya pada sidang media selepas tamat inkues hari ini.

Beliau mewakili empat tertuduh kanak-kanak dalam kes buli di Mahkamah Kanak-Kanak yang juga saksi bagi inkues itu.

Mengenai Circle 19, saksi ke-15 inkues itu katanya menafikan kumpulan berkenaan terbabit dalam gangsterisme di asrama, sebaliknya menjelaskan bahawa ia adalah kumpulan pelajar yang melakukan aktiviti sekolah bersama dan bukannya ‘geng’.

“Saya tanya sama ada Circle 19 ini kita patut panggil geng ataupun kumpulan pelajar? Dia cakap ini adalah kumpulan pelajar, bukan geng. Saya tanya sama ada Circle 19 ini terlibat dengan gangsterisme di asrama, dia menafikan, tidaklah.

“Katanya (saksi), ia hanya sekumpulan pelajar yang melakukan aktiviti bersama-sama untuk program sekolah, itu penjelasannya lah. Jadi saya tanya lagi, sama ada kumpulan Circle 19 ini terlibat dalam perjumpaan Zara pada malam itu, dia bilang tidak.

“Saya tanya lagi sama ada kumpulan Circle 19 ini terlibat dengan mengepung Zara ketika itu, dia bilang tidak. Adakah kumpulan Circle 19 ini terlibat secara langsung dalam kematian arwah Zara? Dia bilang tidak,” katanya.

Azhier berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan pihaknya hari ini, saksi kelima kanak-kanak itu menyatakan beberapa perkara penting.

Pertama, katanya saksi tidak menafikan bahawa arwah Zara dipanggil oleh lima pelajar senior di dalam bilik asrama, selain mengakui ada ungkapan kata-kata kesat seperti ‘bodoh’ dan ‘sial’.

“Saksi juga tidak nafikan pada malam itu ada ungkapan bodoh, sial disebut oleh seorang pelajar. Bukan semua, hanya seorang saja.

“Tapi saksi itu menjelaskan ketika ungkapan itu disebut, ia bukan ditujukan kepada arwah Zara, itu menurut saksilah dan ketika ditanya bagaimana kedudukan pelajar itu ketiks melontarkan kata-kata itu, dia cakap dilontarkan berhadapan pintu, ketika berdiri di hadapan pintu,” katanya.

Saksi berkenaan, katanya menafikan ungkapan kata-kata kesat itu disebut di hadapan arwah Zara. – Info X