Search

Inkues kematian Zara: Saksi tahu punca arwah ditemui di bawah bangunan asrama

September 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu oleh saksi keenam kanak-kanak dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir bahawa dia mengesahkan mengetahui punca arwah ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada awal pagi 16 Julai lalu.

Peguam mewakili ibu arwah menyatakan bahawa saksi berkenaan merasakan arwah Zara Qairina dituduh mencuri sebagai sebab kejadian itu.

Ibu arwah diwakili peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Saksi ke-14 inkues itu menceritakan apa yang berlaku pada malam 15 Julai lalu, iaitu sebelum arwah ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama.

Dalam keterangannya, Kanak-kanak berkenaan melihat arwah Zara masuk ke bilik asramanya pada j 10.20 malam untuk berjumpa seorang pelajar senior.

“Saksi ini memberitahu mahkamah bahawa Zara dipanggil untuk dua kes kecurian kehilangan dompet. Saksi terdengar perbualan isu kecurian disebut, namun tidak jelas.

“Beberapa ketika kemudian, empat senior termasuk dua orang pelajar senior yang dikenali pelajar tersebut masuk ke ‘dorm’ untuk berjumpa Zara.

“Saksi mendengar suara kuat seperti memarahi Zara, tetapi tidak dapat pastikan siapa yang bercakap,” katanya.

Peguam ibu arwah berkata, saksi yang sama memberi keterangan bahawa dia tahu siapa yang memarahi Zara pada malam itu dan menyatakan dia tidak mahu melayan kejadian seperti itu.

“Saksi juga memberitahu tidak pernah nampak Zara lepak atau ke dorm itu sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, katanya saksi menyatakan bahawa Zara keluar dari bilik asramanya dalam keadaan menangis pada kira-kira jam 11 malam.

“Itu adalah kali terakhir saksi melihat Zara pada malam kejadian. Saksi juga berkata dia ada menghantar surat privasi Zara ke ‘dorm’ Zara dan ada pelajar yang juga menjadi saksi dan ahli ‘dorm’ Zara menerima surat tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Koroner Amir Shah Amir Hassan, katanya juga ada bertanya beberapa soalan kepada saksi iaitu mengenai penyerahan sepucuk surat daripada saksi itu kepada pelajar yang juga ahli ‘dorm’ arwah Zara Qairina. – Info X