Search

Inkues kematian Zara: Tidak mungkin arwah diserang atau ditolak

September 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tidak mungkin Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditolak atau diserang hingga jatuh dari tingkat tiga asramanya sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan pada awal pagi, 16 Julai lalu.

Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu menolak kemungkinan itu selepas mengambil kira hasil pemeriksaan di lokasi arwah Zara ditemui.

Beliau yang menjawab pertanyaan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad berkata besar kemungkinan Allahyarham melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut pada jeriji besi tergantung dari atas tembok koridor asrama.

“Berdasarkan pengukuran yang dijalankan di lokasi, tidak mungkin sebab palang besi di tembok koridor asrama begitu tinggi, dia tidak mungkin jatuh sebab palang itu tinggi. Jika ditolak, palang besi akan menghalang daripada jatuh.

“Seperti yang saya terangkan dan demonstrasi dibuat di lokasi, dia (arwah) mungkin berdiri di atas tembok konkrit dan sama ada melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut dari jeriji tergantung,” katanya menjawab kemungkinan yang berlaku.

Ketika prosiding hari ini, Dr Jessie turut menjelaskan beberapa gambar yang diambil ketika pemeriksaan lokasi dan demonstrasi yang dibuat bersama pegawai perubatan dari HQE bagi mendapatkan gambaran mengenai bagaimana arwah Zara jatuh.

Demonstrasi itu juga bagi mendapatkan gambaran sama ada arwah ketika hari kejadian boleh jatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari belakang.

Katanya, pemeriksaan juga bagi mengenal pasti bagaimana arwah jatuh, berdasarkan kecederaan dan keadaan tubuh arwah ketika ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan pada awal pagi 16 Julai lalu.

Beliau berkata pemeriksaan di lokasi dibuat pada 2 Ogos lalu dengan dibantu pegawai perubatan dari HQE bersama tiga anggota polis dan beberapa kakitangan sekolah. – Info X