Search

Inkues Zara Qairina: Koroner, pihak terlibat lawat lokasi kejadian kali kedua

October 5, 2026

BERNAMA

PAPAR: Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir minggu ini bermula dengan pihak yang terlibat melawat lokasi kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di sini.

Lawatan itu, yang kedua selepas kunjungan pertama pada 11 Sept tahun lepas, melibatkan kelas dan bilik Reka Bentuk Teknologi di bangunan sekolah, asrama serta tandas di blok asrama pelajar perempuan.

Koroner Amir Shah Amir Hassan tiba di lokasi bagi sesi locus in quo itu pada 10.05 pagi, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues serta peguam mewakili pihak berkepentingan.

Lawatan itu bagi mendapatkan kefahaman lebih jelas berhubung keterangan terdahulu melalui gambaran dan rujukan secara langsung kepada keadaan sebenar dalam insiden malang yang menimpa Zara Qairina.

Beberapa saksi dewasa yang terdiri daripada guru dan saksi kanak-kanak turut hadir serta dipanggil memberi penjelasan berhubung tempat, susun atur dan keadaan fizikal tertentu yang telah dirujuk dalam keterangan mereka sebelum ini.

Semua pihak terlibat mengambil masa kira-kira tiga jam untuk meninjau lokasi itu sebelum selesai pada 1.30 tengah hari.

Zara Qairina,13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai tahun lepas.

Remaja itu dimasukkan ke hospital berkenaan setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis.

Sebelum itu, pada 8 Ogos, AGC telah memerintahkan agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dilakukan.

Prosiding inkues di Mahkamah Koroner bersambung esok.–BERNAMA