Search

Innoprise Plantations raih pengiktirafan The Edge Malaysia Centurion Club Awards 2026

August 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah (KYS), Innoprise Plantations Bhd, menerima pengiktirafan The Edge Malaysia Centurion Club Awards 2026.

Anugerah berprestij itu diterima pada majlis yang menghimpunkan syarikat berprestasi cemerlang yang tersenarai di Bursa Malaysia di Grand Ballroom, Hilton Kuala Lumpur pada Selasa.

Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan reputasi Innoprise Plantations sebagai antara syarikat perladangan berprestasi tinggi.

Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), Datuk Jasnih Daya mewakili Innoprise Plantations menerima anugerah berkenaan.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan (MD) Innoprise Plantations, Datuk Kelvin Tan Aik Pen dan Pengarah Eksekutif (ED), Steven Ong Chu Yaw.

The Edge Malaysia Centurion Club Awards diperkenalkan sejak 2019 bagi mengiktiraf syarikat-syarikat terbaik di Bursa Malaysia dengan nilai permodalan pasaran antara RM100 juta hingga RM1 bilion, berdasarkan prestasi kewangan dan penciptaan nilai kepada pemegang saham.

Antara kategori utama yang dipertandingkan ialah Pulangan Tertinggi Kepada Pemegang Saham bagi tempoh tiga tahun, Pertumbuhan Tertinggi Keuntungan Selepas Cukai bagi tempoh tiga tahun dan Pulangan Tertinggi Atas Ekuiti (Return on Equity) bagi tempoh tiga tahun.

Ia merangkumi pelbagai sektor termasuk perladangan, pembinaan, teknologi, hartanah, tenaga, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, utiliti dan pengangkutan serta logistik.

Turut disampaikan pada majlis itu ialah anugerah kecemerlangan kelestarian berdasarkan rangka kerja FTSE4Good Bursa Malaysia, selain pengiktirafan kepada syarikat yang mencatat prestasi keseluruhan terbaik dalam kalangan ahli The Edge Malaysia Centurion Club.

Pencapaian Innoprise Plantations akan dipaparkan dalam sisipan khas pasca majlis yang diterbitkan The Edge Malaysia, sekali gus memperkukuhkan lagi kedudukan syarikat itu sebagai antara pemain utama industri perladangan negara.

Jasnih menyifatkan kejayaan itu sebagai cerminan komitmen berterusan Innoprise Plantations dalam mengamalkan tadbir urus korporat yang baik, meningkatkan prestasi perniagaan serta menjana nilai mampan kepada pemegang kepentingan, selaras aspirasi KYS untuk terus memacu kecemerlangan dan pembangunan ekonomi negeri. – Info X