Search

Insiden kekecohan di Lahad Datu dibawa ke JPU – Zahid

March 19, 2023

admin

KOTA KINABALU: Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, insiden kekecohan ketika mesyuarat perwakilan Umno di Lahad Datu akan dibawa kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU).

Selain itu, katanya, satu lagi insiden kekecohan sewaktu pemilihan parti itu di Johor Bahru akan turut dibawa kepada jawatankuasa berkenaan.

Zahid berkata, JPU yang dipengerusikan Tan Sri Sharir Samad akan menjalankan siasatan dan memberikan laporan terperinci berhubung dua insiden terbabit.

“Saya sendiri yakin wibawa JPU. Pemilihan di bahagian ada wakil JPU, mereka memantau dan menghantar laporan ke JPU pusat untuk lakukan penelitian dan siasatan.

“Jika kes itu perlu rujuk kepada lembaga disiplin, maka tindakan disiplin akan diambil,” katanya di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur, lewat malam tadi.

Bagaimanapun, Zahid berkata secara keseluruhan pemilihan Umno membabitkan 189 bahagian yang berlangsung semalam berjalan lancar.

Katanya, tidak lebih lima peratus pemilihan Umno bahagian menghadapi masalah dan kebanyakan aduan telah diselesaikan.

“Setakat ni tak lebih daripada lima peratus kes berat atau ringan, aduan yang kita terima itu banyak yang telah diselesaikan, aduan ditarik dan terima keputusan yang dibuat para perwakilan,” katanya

Terdahulu, Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lahad Datu di Dewan Sri Perdana di Lahad Datu dicemari oleh insiden pergaduhan dipercayai akibat provokasi sehingga menyebabkan dua individu cedera.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata dalam insiden pada 2.45 petang itu, seorang daripada mangsa yang cedera adalah kakitangan Badan Perhubungan Umno Sabah manakala seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Lahad Datu. – Info X