Search

IPD KK sasar 500 tangkapan kes dadah sebulan

August 8, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menyasarkan untuk merekodkan sehingga 500 tangkapan sebulan membabitkan kesalahan jenayah narkotik di bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, usaha itu adalah bagi mengurangkan kadar jenayah di bandar raya berikutan kesalahan narkotik mempunyai hubung kait untuk tercetusnya kejadian jenayah.

“Dalam visi dan misi saya sebagai Ketua Polis Daerah, kita menyasarkan untuk meningkatkan lagi kadar tangkapan dalam usaha mengurangkan ketakutan (fear) dalam kalangan masyarakat dengan berpegang kepada istilah ‘tiada hari tanpa tangkapan’.

“Usaha ini akan ditumpukan bagi pesalah jenayah terutamanya kesalahan narkotik yang pada masa ini kita tetapkan 15 tangkapan sehari dan merekodkan sehingga 500 tangkapan sebulan.

“Kita juga tumpukan untuk merekodkan sehingga 100 tangkapan terhadap pesalah yang melakukan kesalahan dadah berulang mengikut Seksyen 39(c) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 berbanding hanya 87 tangkapan terkini bagi mengurangkan kes penyalahgunaan dadah seterusnya mengurangkan kes jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di IPD Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Kasim berkata, dalam tempoh Mei sehingga Julai tahun ini, sebanyak 87 kes bekalan mengikut Seksyen 39B, 39A(2) dan 39A(1) ADB 1952 berjaya direkodkan.

“Dalam tempoh sama 474 tangkapan direkodkan bagi kes memiliki mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 manakala 790 kes urin bagi Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Kita juga sudah menjalankan siasatan terhadap 1,351 kes dengan tangkapan seramai 1,365 individu yang terbabit dengan pengedaran dan penyalahgunaan dadah sepanjang tahun ini.

“Pada masa sama, kita laksanakan dengan operasi terancang lain termasuk Op Tapis Khas bagi mengempur dan membenteras sarang pengedaran, pembekal dan penagihan dadah di kawasan sasaran dan seramai 84 individu berjaya ditangkap
membabitkan lima kes bekalan, 26 kes memiliki dan 53 kes urin,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh Mei sehingga Julai, sebanyak 2,338.87 gram syabu, 351.41 gram ganja, 10.98 gram ketamin dan 90,000 gram ketum yang dianggarkan bernilai RM110,585 mengikut harga dadah semasa berjaya direkod.

“Selain operasi harian bagi mengekang kemasukan serta pengedaran bahan terlarang di daerah ini, kita juga menjalankan operasi di pusat hiburan secara berkala setiap bulan untuk memastikan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah ini dibenteras secara habis-habisan.

“Usaha ini juga bagi membanteras kegiatan sindiket pengedaran dadah yang tidak pernah serik dan sentiasa mencari alternatif baharu untuk mengedar bahan terlarang ini kepada golongan sasar demi kelangsungan aktiviti jenayah mereka,” katanya.

Kasim bersama pegawai ketika sidang media di IPD Kota Kinabalu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Kasim berkata, IPD Kota Kinabalu juga giat melaksanakan operasi perobohan secara besar-besaran di kawasan setinggan bagi mengurangkan jumlah koloni setinggan di daerah ini.

“Dalam tempoh Mei sehingga Ogos, sebanyak 262 buah rumah setinggan berjaya diroboh dengan tangkapan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) yang enggan bekerjasama dan berpindah dari kawasan setinggan terbabit.

“Antara kawasan yang sudah dilaksanakan adalah setinggan di Kalansanan, SMK Tun Fuad, Sulaman Jaya, Sabah Trade Centre dan Kampung Numbak.

“Operasi akan dilaksanakan setiap minggu dan kita juga memberi amaran kepada majikan yang masih berdegil menggaji PATI agar berhenti berbuat demikian kerana mereka juga berpotensi disiasat dan diambil tindakan mengikut Seksyen 55 Akta Imigresen,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) daerah turut aktif menjalankan rondaan berbasikal di kawasan Tanjung Aru sehingga Teluk Likas selain pihak Amanita bermotosikal bertemu dengan masyarakat terutama wanita dalam usaha meningkatkan keselamatan di daerah ini setiap hujung minggu.

Tambahnya, IPD Kota Kinabalu juga meletakkan kenderaan pasukan serta Balai Polis Bergerak di kawasan tumpuan termasuk Jalan Gaya dan Tuan Fuad Stephen bagi memastikan keberadaan polis di lapangan seterusnya meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.

“Pada masa sama, anggota polis trafik juga akan ditempatkan di laluan utama pada masa puncak bagi melancarkan laluan selain menutup laluan pusingan U yang berpotensi berlakunya kadar kemalangan jalan raya yang tinggi di sini,” katanya. – Info X