KOTA BELUD: Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan institusi pendidikan tinggi (IPT) lain turun padang mendekati masyarakat menerusi program Jelajah Pendidikan Tinggi Untuk Komuniti @ Sabah, di Kampung Keguraan, di sini, baru-baru ini.
IPT lain yang turut terbabit ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Kolej Komuniti Kota Marudu dan Kolej Komuniti Beaufort.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata selain pelbagai aktiviti dari UMS dan IPT lain, beberapa projek pemindahan ilmu daripada ahli akademik kepada komuniti turut dilaksanakan.

“Antaranya projek pemindahan ilmu berkaitan fertigasi tumbuhan dan sayuran, usahawan cendawan, pemasangan sistem solar, penghasilan mee kuning dan aneka pizza talam.
“Inisiatif seperti ini perlu diperluaskan agar manfaatnya dirasai oleh lebih ramai, khususnya komuniti luar bandar yang memerlukan akses kepada peluang pendidikan dan pembangunan diri.
“Biarlah program ini menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai anak watan yang berilmu, berdaya saing dan mampu membina masa depan yang lebih cerah untuk diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Sementara itu, Mustapha ketika berucap berkata penganjuran program berkenaan adalah peluang terbaik untuk berkongsi pelbagai bidang kepakaran yang terdapat di IPT kepada komuniti setempat.
Katanya, program itu turut menjadi platform dalam memberi pendedahan kepada murid sekolah mengenai suasana sebenar pembelajaran di peringkat pendidikan tinggi dan memupuk minat mereka terhadap STEM menerusi permainan interaktif serta pameran yang disediakan.
“Justeru itu, saya ingin menyeru ibu bapa dan masyarakat agar sentiasa menyokong anak-anak untuk melanjutkan pelajaran.
“Jangan jadikan kekangan ekonomi atau lokasi sebagai halangan, kerana hari ini kerajaan menerusi KPT menyediakan pelbagai bentuk bantuan, biasiswa, pinjaman dan program laluan alternatif untuk semua,” katanya.

Pada majlis itu, Mustapha turut menyampaikan surat tawaran kemasukan ke IPT dan wang pendahuluan dari PTPTN kepada tiga pelajar terpilih.
Selain program pemindahan ilmu, turut diadakan aktiviti mengindahkan kawasan sekolah menerusi lukisan mural, pameran pendidikan dari UMS dan IPT lain, pameran kesihatan dari Hospital UMS (HUMS), saringan kesihatan dan konsultasi perubatan, pemberian ubat-ubatan dan kaca mata percuma, bicara kesihatan mental, pemeriksaan dan rawatan gigi serta pemeriksaan kesihatan khas wanita.
Hadir sama pada program itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan; Rektor UiTM Kampus Kota Kinabalu, Prof Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed; Guru Besar SK Keguraan, Sharifah Gundah dan Ketua Kampung Keguraan, Awang Asrul Maslah. – Info X