KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor membawa pendirian tegas kerajaan negeri berhubung penyelesaian tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Menyokong pendirian itu, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pendirian yang dibawa Ketua Menteri pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Jumaat lalu, mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan negeri.
Katanya, komitmen itu untuk memastikan hak-hak Sabah tidak sekadar dibincangkan, tetapi diterjemahkan kepada penyelesaian yang nyata serta memberikan manfaat kepada rakyat.
“Tuntutan 40 peratus bukan tuntutan baharu dan bukan juga soal ihsan daripada mana-mana pihak. Ia adalah hak Sabah yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sewajarnya diselesaikan dengan penuh tanggungjawab, adil serta dalam semangat sebenar pembentukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, PGRS mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim untuk Sabah kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini dan menyifatkannya satu perkembangan positif hasil rundingan berterusan di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Namun demikian, bayaran interim ini tidak menutup tuntutan 40 peratus yang masih perlu dimuktamadkan sebagaimana yang terus ditegaskan oleh Ketua Menteri.
“Kita juga menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.
“Suara Sabah perlu mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dalam institusi Parlimen, selaras dengan kedudukan dan semangat Sabah serta Sarawak ketika Malaysia dibentuk pada 1963.
“Begitu juga dengan usaha mempercepatkan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan serta perkara-perkara lain yang masih belum diselesaikan di bawah MA63.
“Semua ini mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan dan kemampuan negeri untuk menentukan serta mengurus kepentingannya dengan lebih berkesan,” katanya.
Nizam berkata, PGRS percaya pendekatan yang dibawa Hajiji selama ini adalah jelas, tegas mempertahankan hak Sabah, tetapi pada masa yang sama memilih jalan rundingan, kerjasama dan hubungan kerajaan dengan kerajaan untuk menghasilkan penyelesaian yang konkrit.
Jelasnya, pendekatan itu menghasilkan kemajuan dalam beberapa tuntutan MA63 sebelum ini dan perlu diteruskan sehingga perkara-perkara yang masih tertangguh dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Bagi PGRS, soal hak Sabah mengatasi kepentingan politik kepartian. Apa juga yang menjadi hak negeri dan rakyat Sabah mesti diperjuangkan secara konsisten.
“Kita menghargai keterbukaan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri untuk meneruskan rundingan mengenai perkara-perkara yang belum selesai.
“Pada masa yang sama, PGRS berdiri teguh bersama Ketua Menteri dalam pendirian bahawa penyelesaian hak 40 peratus Sabah perlu diberikan keutamaan dan disegerakan,” katanya.
Sabah katanya, tidak meminta lebih daripada apa yang menjadi haknya, sebaliknya hanya mahu apa yang dipersetujui dan diperuntukkan dalam Perlembagaan dilaksanakan dengan adil, konsisten dan penuh tanggungjawab. – Info X