KOTA KINABALU: Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof hari ini mengetuai barisan peguam mewakili kerajaan negeri dalam pengurusan kes rayuan berkaitan hak 40 peratus pemberian khas kepada Sabah.
Ia berkaitan rayuan Peguam Negara yang mewakili kerajaan persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 November 2022 yang membenarkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) meneruskan semakan kehakiman berkaitan kelayakan 40 peratus itu.
Berikutan itu, peguam dari Tetuan FT Ahmad & Co yang hadir pada pendengaran kes rayuan itu pada 16 Mei lalu terhenti daripada mewakili kerajaan negeri.
Nor Asiah berkata, Jabatan Peguam Besar Negeri kini mengambil alih sepenuhnya perkara itu.
“Saya tampil bagi pihak kerajaan negeri Sabah bersama Penasihat Khas Undang-Undang kepada Ketua Menteri, Datuk Brenndon Keith Soh serta Peguam Negeri, Devina Teo dan Roland Alik.
“Mahkamah Rayuan sudah diberitahu bahawa Tetuan FT Ahmad & Co sudah terhenti bertindak bagi pihak kerajaan Sabah dan oleh itu Pejabat Peguam Besar Sabah mengambil alih sepenuhnya perkara ini,” katanya selepas prosiding pengurusan kes rayuan terbabit yang diadakan secara dalam talian, hari ini.
Nor Asiah berkata, setelah meneliti dan menyemak perkara itu dan prosiding yang berlaku sebelum ini, Mahkamah Rayuan dimaklumkan mengenai kedudukan beberapa perkara.
Pertama, katanya memandangkan kerajaan negeri tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 November 2022, kerajaan negeri menerima keputusan yang diberikan untuk perkara itu disalurkan atas merit pada pendengaran substantif permohonan semakan kehakiman itu.
“Kedua, sebagai tambahan, kerajaan negeri menarik balik semua submission yang dibuat di Mahkamah Rayuan berkaitan isu ‘locus standi’ SLS kerana ini tidak dikemukakan atau tidak dikemukakan di Mahkamah Tinggi oleh kerajaan negeri.
“Dan ketiga, kerajaan negeri menarik balik submission dibuat di Mahkamah Rayuan merujuk kepada Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan sebagai satu ‘aspirasi’ dan bukan mandatori atau hak mutlak negeri Sabah.
“Mahkamah Rayuan telah merekodkan kedudukan ini dan menetapkan 18 Jun depan untuk keputusan berkaitan perkara ini (rayuan Peguam Negara),” katanya.
Beliau memberi jaminan kepada rakyat negeri ini bahawa Jabatan Peguam Besar Sabah komited dan akan terus kekal teguh untuk menegakkan hak perlembagaan Sabah seperti digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan. – Info X