KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didakwa gagal memahami ‘ibu’ kepada segala isu yang dikaitkan dengan tuntutan 40 peratus hasil bersih dikutip kerajaan Persekutuan di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Lisa Hassan Alban, menyatakan perkara itu berdasarkan kenyataan pemimpin GRS yang bangga dengan kenaikan pemberian khas interim RM600 juta dan jangkaan jumlah itu meningkat kepada RM3 bilion.
“Tuntutan kita adalah 40 peratus daripada hasil bersih, yang bermaksud jumlah itu bersifat dinamik dan meningkat mengikut pertumbuhan ekonomi.
“Dengan menerima jumlah tetap (fixed sum), GRS secara sukarela telah meletakkan Sabah dalam kedudukan penerima sedekah dan bukannya rakan kongsi.
“RM600 juta atau RM3 bilion hanyalah angka rawak yang diberikan mengikut ihsan Kerajaan Persekutuan.
“Kenapa GRS begitu takut untuk menuntut pengiraan berdasarkan formula asal 40 peratus? Adakah kerana mereka lebih mementingkan kelangsungan politik di Putrajaya berbanding hak perlembagaan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kepada kenyataan pemimpin GRS, Senator Datuk Anna Bell Perian baru-baru ini mengenai isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Lisa berkata, amat mendukacitakan apabila pemimpin GRS terus memilih untuk berpencak silat dengan retorik politik dan serangan peribadi berbanding menjawab persoalan asas yang beliau ajukan berkaitan penggunaan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membincangkan hak rakyat Sabah.
Pemimpin Parti Warisan itu turut mempertahankan tindakan kerajaan Warisan sebelum ini yang didakwa pemimpin GRS gagal kerana hanya bersetuju dengan bayaran RM53.4 juta pada 2019.
“Biar saya perbetulkan fakta ini: Warisan dengan tegas enggan membenarkan sebarang “warta” (gazette) dibuat ke atas jumlah tersebut.
“Mengapa? Kerana sekiranya jumlah itu diwartakan, ia akan mematikan tuntutan 40 peratus dan mengunci Sabah kepada jumlah tetap untuk tempoh lima tahun lagi.
“Warisan memilih untuk tidak berkompromi dengan hak perlembagaan demi kemenangan politik segera. Bukankah hanya setelah Warta 119/2022 diterbitkan barulah bermula tindakan semakan mahkamah dimulakan oleh SLS? Bukankah pendirian kerajaan GRS waktu itu bertentangan dengan SLS secara langsung?
“Ingatkah lagi bahawa GRS begitu ghairah merayakan ‘pemberian khas’ yang sebenarnya merupakan taktik untuk melengah-lengah dan akhirnya melenyapkan formula 40 peratus tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin GRS tidak konsisten dalam kenyataan berkaitan isu 40 peratus selain menyebut perkara yang remeh dan melucukan.
“Pada Mac 2023: Datuk Armizan kata Dewan Rakyat tidak sesuai bincang 40 peratus. Kini: Senator Anna Bell kata DUN Sabah pula tidak sesuai kerana ‘mengganggu proses teknikal’.
“Jika Parlimen tidak sesuai dan DUN juga tidak sesuai, adakah GRS mahu rakyat Sabah bincang hak mereka di kedai kopi sahaja? Alasan bahawa usul oleh Datuk Roger Chin dan YB Chin Tek Ming akan ‘mengganggu proses perundangan’ adalah alasan yang lemah dan menghina fungsi institusi perundangan.
“DUN adalah tempat untuk menetapkan mandat politik rakyat kepada eksekutif, bukannya sekadar ‘rubber stamp’ untuk keputusan yang dibuat secara tertutup,” katanya.
Lisa turut mengkritik tindakan menolak usul dikemukakan ADUN Dilantik, Datuk Roger Chin pada persidangan DUN baru-baru ini berhubung isu itu yang disifatkannya tidak wajar terhadap seorang pakar undang-undang.
“Pelantikan Datuk Roger Chin sebagai penasihat undang-undang negeri dilihat sebagai langkah profesional, namun penolakan usul beliau membuktikan kepakaran beliau hanya digunakan sebagai ‘topeng’.
“Apabila pakar yang anda lantik sendiri cuba membawa isu ini ke ruang rasmi, anda menyekatnya. Ini bukan diplomasi matang, ini adalah penindasan sistemik terhadap suara yang berbeza pendapat,” katanya.
Berikutan itu, Lisa mendesak kepimpinan GRS untuk berhenti berselindung di sebalik Speaker DUN dan berhenti menyerang rekod masa lalu untuk menutup kelemahan masa kini.
Katanya, rakyat Sabah bukan lagi rakyat yang boleh disogok dengan pengumuman ‘bonus interim’ sementara hak perlembagaan mereka digadaikan secara perlahan-lahan.
“Jangan jadikan diplomasi sebagai alasan untuk bersikap tunduk. Kembalikan perdebatan 40 peratus ke Dewan Undangan Negeri. Jika anda benar-benar berjuang untuk Sabah, mengapa anda begitu takut untuk berdepan dengan usul kami,” katanya. – Info X