Search

Isu air UMS: Ada air telaga tiub, tapi tidak cukup

April 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lapan telaga tiub yang dibina siap dibina di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun lalu sudah dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menangani isu kekurangan bekalan air di universiti itu.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, bagaimanapun berkata kapasiti yang dikeluarkan telaga tiub terhad dan tidak mampu menampung keperluan di kampus itu.

Katanya, kemudahan itu memerlukan tempoh pemulihan yang agak lama, iaitu antara empat hingga enam jam setelah air yang dipam habis digunakan, sebelum ia dapat dipam semula untuk diproses dan di salurkan ke kediaman pelajar.

“Telaga tiub berfungsi dengan baik, cuma ia ada ‘recovery rate’ dan sekarang ini ada beberapa tempat memang bergantung dengan bekalan air dari telaga tiub itu.

“Jadi kadang-kadang sumber airnya pun habis dan perlu pemulihan dalam masa hingga enam jam supaya dapat diisi balik dan ia adalah untuk digunakan pelajar,” katanya selepas meninjau isu bekalan air di universiti itu, di sini, semalam.

Mustapha meninjau masalah air di UMS.

Masalah air dilapor kembali menghantui pelajar UMS hingga terpaksa menadah air hujan untuk mandi dan mencuci berikutan bekalan air yang disalurkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak sampai secukupnya untuk menampung keperluan ribuan warga kampus UMS.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata tinjauannnya bersama Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, semalam mendapati tangki utama yang menempatkan air disalurkan JANS pada paras yang rendah.

“Daripada lawatan kami di tangki utama memang bekalan air agak kurang. Jadi saya mohon kepada pihak JANS supaya memberi keutamaan kepada UMS dalam pengagihan bekalan air.

“Sebab sekarang ini pelajar sudah kembali selepas curi Hari Raya. Jadi proses pengajaran, pendidikan akan berterusan dan kita minta supaya bekalan air ke UMS diutamakab untuk keselesaan pelajar,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan pelajar UMS supaya bersabar dan tidak memburukkan nama universiti berikutan usaha sedang diambil bagi membantu mengatasi masalah itu secepat mungkin. – Info X