Search

Isu mineral babitkan soal pengurusan sumber bumi Sabah – Azis

April 8, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Warisan mengaitkan isu kelulusan kawasan untuk penerokaan sumber mineral kepada syarikat tertentu di Sabah dengan soal pengurusan sumber bumi negeri ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata ia adalah soal sama ada sumber bumi Sabah diurus dengan baik untuk kepentingan rakyat negeri ini atau sebaliknya.

“Ia adalah soal siapa yang mengurus sumber bumi Sabah untuk kepentingan rakyat dan siapa yang menjadikannya peluang untuk memperkaya golongan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia merujuk kepada isu tular mengenai dakwaan pemberian Lesen Carigali Mineral kepada sebuah syarikat yang didakwa ada kaitan dengan pemimpin tertentu di negeri ini.

Syarikat terbabit, Lincah Hebat Utama Sdn Bhd (LHU), dilaporkan menerima kelulusan untuk menjalankan aktiviti eksplorasi di kawasan seluas 17,600 hektar oleh kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 20 Januari 2025.

Azis berkata, ia jelas bahawa kelulusan kepada syarikat berkenaan dibuat kerajaan GRS dan bukan ketika kerajaan Warisan pada 2019 berikutan tuduhan terhadap parti itu yang didakwa meluluskan kawasan jauh lebih luas kepada syarikat terbabit.

“Kelulusan diberikan semasa pemerintahan kerajaan GRS. Berdasarkan rekod, lesen kelulusan melombong untuk Lincah Hebat Sdn Bhd hanya dikeluarkan pada 20 Januari 2025, sewaktu pentadbiran Kerajaan GRS.

“Justeru, sebarang dakwaan yang cuba menuding jari kepada Kerajaan WARISAN adalah tidak tepat dan mengelirukan. Jika GRS benar-benar tidak bersetuju dengan permohonan tersebut, mengapa mereka meluluskan lesen itu lima tahun kemudian?

“Maka rakyat Sabah perlu tahu, siapa pemilik sebenar Lincah Hebat? Siapa yang melobi untuk lesen itu? Siapa yang akan untung daripada projek perlombongan ini? Adakah terdapat kepentingan politik atau kronisme tersembunyi,” soalnya.

Warisan dituduh meluluskan kawasan lebih luas kepada syarikat terbabit berdasarkan surat Pejabat Hasil Bumi Sabah bertarikh 31 Januari 2019, namun surat itu disahkan oleh bekas Setiausaha Hasil Bumi, Datuk Mohd Salleh Abbas sebagai prosedur biasa
jabatan kerajaan dalam mengesahkan penerimaan permohonan mana-mana pihak dan bukan satu bentuk kelulusan rasmi.

Azis menyifatkan penyebaran surat itu memperlihatkan seolah-olah terdapat usaha untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar yang dihadapi Kerajaan GRS berkaitan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

“Jika GRS yakin mereka telus, saya cabar mereka untuk mendedahkan semua dokumen kelulusan, termasuk laporan impak alam sekitar, nama pemilik syarikat, dan justifikasi pemberian lesen. Biar rakyat nilai sendiri,” katanya.

Beliau menggesa semua pihak supaya meneliti fakta dengan teliti dan tidak terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasas.

“Warisan menegaskan komitmen untuk memerintah dengan telus dan sentiasa bersedia menjawab sebarang persoalan demi kepentingan rakyat,” katanya. – Info X