Search

Isu pegawai imigresen diabaikan, JIM Sabah ambil langkah sewajarnya

June 26, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah mengambil pelbagai tindakan sewajarnya sebelum insiden tular kebajikan seorang pegawainya yang terabai selepas mendapat kecederaan ketika bertugas.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pihaknya sentiasa menjadikan kebajikan pegawai sebagai salah satu keutamaan apabila menerima laporan pegawai yang jatuh sakit dan menjalani rawatan perubatan.

“Berhubung isu tular itu, jabatan telah bertindak sewajarnya dengan meluluskan permohonan rayuan daripada pegawai yang memohon untuk bertukar tempat bertugas bagi memudahkan dijaga oleh ahli keluarganya.

“Atas keperihatinan jabatan, beberapa sesi lawatan ke rumah kediaman pegawai juga telah dilakukan pada 13 Jun 2022 dan 23 September 2022 dan sumbangan turut diserahkan kepada pegawai pada masa itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pegawai itu diberikan penghargaan atas perkhidmatan di JIM Sabah dan dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang 2021 dan sijil itu turut diserahkan kepada pegawai dalam sesi lawatan berkenaan.

“Jabatan turut mengambil maklum akan kesihatan pegawai dan membantu menguruskan permohonan kemudahan rawatan perubatan bagi tujuan membiayai pembelian alat perubatannya.

“Pegawai terbabit dimasukkan ke hospital pada 22 Jun 2023 untuk tujuan pembedahan dan selesai menjalani pembedahan pada 22 Jun 2022. Pegawai dibenarkan pulang daripada hospital pada 25 Jun 2023 dan diberikan cuti sakit sehingga 17 Julai 2023,” katanya.

SH Sitti Saleha berkata, dalam isu ini, jabatan telah mengambil tindakan yang sewajarnya dan tetap akan memberi khidmat sokongan moral kepada pegawai.

“Oleh itu, dinasihatkan supaya orang awam tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan kekeliruan khususnya kepada jabatan dan masyarakat secara amnya.

“Jabatan turut mendoakan kesejahteraan kesihatan pegawai dan semoga beransur sembuh serta dapat kembali menjalani tugas,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial seorang pegawai Imigresen yang bertugas di JIM Sabah mendakwa bahawa kebajikannya terabai selepas mendapat kecederaan ketika bertugas. – Info X