TAWAU: Kementerian Komunikasi akan berbincang dengan pihak yang berkaitan bagi mengatasi isu teknikal berhubung penerimaan isyarat telekomunikasi dari negara jiran di kawasan sempadan negara, termasuk Pulau Sebatik, di sini.
Menterinya, Fahmi Fadzil mengakui pihaknya ada menerima aduan berkaitan isu itu dan akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk mengenal pasti sekali gus mengatasinya
Beliau berkata, masalah itu bukan saja dialami penduduk Pulau Sebatik yang berjiran dengan Indonesia, malah turut berlaku di Lawas, Sarawak yang berjiran dengan Brunei dan Kelantan yang berjiran dengan Thailand.
“Saya ada menerima aduan mengenai isyarat yang kita terima dari negara jiran dan kita perlu ada sedikit koordinasi serta perbincangan dengan beberapa pihak untuk mengatasi isu teknikal di sini.
“Kita sudah meminta untuk meneliti isu teknikal yang perlu dilakukan bagi mengatasi masalah ini dan ia memerlukan kerjasama antara dua negara,” katanya ketika meninjau pengoperasian menara program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 1 yang diurus MCMC di Kampung Mangga, di sini, hari ini.
Sementara itu, Fahmi berkata menara komunikasi di Kampung Mangga menjadi contoh piawaian ditetapkan MCMC dalam menyiapkan sebanyak 400 menara telekomunikasi di bawah JENDELA Fasa 1 di seluruh Sabah sehingga akhir tahun ini.
“Saya sangat gembira melihat kemajuan di tapak ini kerana ia salah satu contoh yang saya minta MCMC sebagai piawaian ‘gold standard’.
“Menara ini telah siap dan diserahkan kepada penyedia peralatan elektronik atau komunikasi pada 25 April lalu dan ia ‘live on air’ dalam tempoh sehari sahaja daripada waktu ia disiapkan dan diserahkan,” katanya.
Fahmi turut meminta MCMC agar segera mengenal pasti langkah yang perlu diambil untuk menyelesaikan isu isyarat telekomunikasi di laluan protokol antaranya di Lapangan Terbang Tawau bagi meningkatkan kesalinghubungan di kawasan itu.
Beliau mengingatkan MCMC dan pengendali syarikat telekomunikasi (Telco) terutama di laluan protokol supaya memastikan ada rangkaian 4G dan ia perlu diselesaikan segera. – Info X