Search

Jadikan Aidiladha sambutan kukuhkan keimanan, persaudaraan dan perpaduan – Hajiji

June 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengajak seluruh rakyat Sabah untuk sama-sama terus mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan.

Bersempena sambutan Aidiladha esok, beliau juga meminta umat Islam di negeri ini untuk terus meneguhkan lagi keimanan dan ketakwaan terhadap kebesaran dan keagungan Tuhan.

Katanya, umat Islam perlu menghayati kisah dan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS yang menjadi asas sambutan Aidiladha.

“Naratif Aidiladha yang berkait rapat dengan kisah dan sejarah amalan korban, melibatkan dua figura besar dalam Islam iaitu Nabi Ibrahim AS bersama anakanda baginda, Nabi Ismail AS.

“Ia membawa pengertian dan falsafahnya yang tersendiri, mencakupi tiga aspek utama dalam kehidupan umat manusia, iaitu perjuangan, pengorbanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT.

“Justeru, Aidiladha yang jatuh sempena bulan haji ini adalah bulan suci yang di dalamnya mengandungi segala rahsia yang terkait dengan apa yang disebut sebagai Habluminallah dan Habluminanaas, iaitu hubungan insaniah dengan Tuhan yang Maha Pencipta dan hubungan kita sesama umat manusia.

“Semoga sambutan Aidiladha kali ini akan terus memperkukuhkan persaudaraan dan perpaduan di kalangan kita rakyat Malaysia di negeri ini,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidiladha 1446H, di sini, pada Jumaat.

Hajiji dan keluarga turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Sabah. – Info X