Search

Jadikan musim perayaan untuk rapat silaturahim, kuatkan perpaduan – Hajiji

April 22, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyeru rakyat di negeri ini supaya mengambil peluang sempena musim perayaan ini untuk merapatkan silaturahim sekali gus menguatkan perpaduan yang sudah terjalin sejak sekian lama.

Katanya, seruan itu juga selari dengan seruan Islam yang nenganjurkan perpaduan merentasi kaum dan agama.

“Bukan sahaja di kalangan rakyat yang beragama Islam, tetapi juga mereka yang bukan beragama Islam. Sebagai sebuah masyarakat dalam satu negeri, yang terdiri daripada berbilang kaum kita dianjurkan umat Islam supaya mengukuhkan perpaduan sesama kita tanpa mengira keturunan dan juga kepercayaan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan Solat Sunat Aidilfitri, di Masjid Haji Noor, di Kampung Serusup, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji turut mengingatkan umat Islam di negeri ini agar meraikan Aidilfitri secara meriah dengan mengekalkan kesederhanaan seperti disarankan agama Islam.

“Saya harap perayaan ini dapat diraikan secara sederhana dan meriah di kalangan masyarakat Islam di mana saja mereka berada, saya juga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” katanya. – Info X