Search

Jalan Magandai di Kota Marudu dalam pembinaan – Shahelmey

January 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jalan Magandai, Kota Marudu yang tular di media sosial baru-baru ini, kini sedang dalam fasa pembinaan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dalam kenyataan medianya hari ini bahawa jalan sepanjang 40 kilometer itu bermula dari simpang menuju ke Kampung Tondig sehingga ke Sekolah Kebangsaan (SK) Mgandai.

Katanya, pihak kontraktor juga memaklumkan bahawa jentera mereka ada di tapak pembinaan dan juga dihantar ke (CH19+000-CH40+000) kawasan yang kerap berlaku kerosakan.

“Tujuan adalah membuat kerja-kerja penyelenggaraan. Namun demikian berikutan keadaan cuaca yang hujan berterusan telah mengakibatkan struktur tanah menjadi lembut.

“Ini menyukarkan kerja-kerja pembinaan dan selenggaraan,” katanya.

Walaupun berdepan cabaran itu, beliau berkata pihak kontraktor memaklumkan bahawa jentera mereka sentiasa berada di kawasan untui membantu penduduk di kawasan berkenaan.

Terdahulu, rakaman video memaparkan dua murid dan dua guru dari SK Magandai, Kota Marudu bukan sahaja terpaksa melalui jalan berlumpur, malah terpaksa bermalam di pondok sebuah kebun.

Perkara itu dikongsi seorang guru SK Magandai menerusi hantaran video di Facebook, baru-baru ini.

Menurut guru yang menggunakan nama akaun Moniq Cfrndz, dua beradik murid tahun dua dan tahun tiga itu pada awalnya ditumpangkan guru yang sama-sama menuju ke sekolah itu, namun kenderaan guru terbabit rosak ketika dalam perjalanan berikutan jalan yang teruk.

Berikutan itu, katanya, dua murid dengan membawa beban peralatan sekolah dan sedikit bekalan makanan terpaksa meneruskan perjalanan bersama guru terbabit dengan berjalan dalam keadaan hujan, mengharungi jalan becak dan berselut untuk menghabiskan baki perjalanan.

Malangnya, dua murid dan dua guru mereka gagal sampai destinasi pada hari sama berikutan hari sudah malam serta hujan lebat, menyebabkan mereka terpaksa menumpang teduh dan bermalam di pondok kebun penduduk Magandai.

Moniq yang bersama dengan dua murid itu menceritakan mereka tiada pilihan lain, kecuali bermalam di hutan memandangkan baki perjalanan masih terlalu jauh. – Info X