KOTA KINABALU: Separuh daripada jalan raya persekutuan di Sabah perlu dibina semula berikutan struktur asasnya yang sudah rosak dan dikategorikan pada kondisi lima.
Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata disebabkan itu kerja pembaikan kerosakan atau penampalan jalan berlubang di jajaran yang berkenaan tidak mampu bertahan lama.
Beliau berkata, penyelesaian kepada masalah itu hanya melalui pembinaan semula jalan sedia ada atau menaik taraf ke jalan baharu seperti projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dijalankan sekarang.
“Jalan persekutuan di Sabah ketika ini banyak yang kondisi lima, maknanya ia boleh bertahan sekejap saja, tapi asas jalan sudah koyak dan nipis.
“Kalau menampal saja ia tidak memadai. Secara keseluruhan kira-kira 50 peratus jalan persekutuan di Sabah sekarang pada kondisi lima,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim, petugas pusat operasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat dan media, di sini, pada Ahad.
Sebelum ini, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa 30 hingga 40 peratus Jalan Tawau – Sandakan – Kota Kinabalu rosak hingga membahayakan pengguna.
Shahelmey mengakui kebanyakan jajaran jalan persekutuan di Sabah sudah melebihi tempoh jangka hayat 20 tahun dan memang patut ditukar atau dinaik taraf.
Jelasnya, penyelenggaraan rutin di jajaran jalan raya itu tidak mampu menyelesaikan masalah, namun peruntukan yang tidak mencukupi menyebabkan pembinaan semula tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Beliau berkata, perkara itu turut disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika taklimat pembangunan negeri sempena Majlis Berbuka Puasa Madani yang dihadiri Anwar di Tuaran pada Sabtu.
“Semalam Ketua Menteri menyuarakan kepada Perdana Menteri mengenai senarai permintaan Sabah, antaranya peruntukan untuk menyelenggara jalan persekutuan di sini.
“Setiap tahun kita perlukan peruntukan untuk membaiki dan menyelenggara 110 kilometer jalan persekutuan, tapi peruntukan yang diberi hanya cukup untuk 50 kilometer.
“Jadi, setiap tahun ada pembaikan jalan yang tertunggak hingga lama kelamaan jumlah jajaran yang rosak bertambah kerana ‘dikejar’ jangka hayat jalan yang sudah habis,” katanya.
Bagi jalan negeri, Shahelmey berkata kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan untuk tahun ini dan kerja pembaikan jalan negeri yang rosak sedang dijalankan.
“Kerajaan negeri sudah lulus peruntukan antaranya di Paitan dan Jalan Kalabakan – Sapulut, semuanya ada empat laluan yang kita buat sekarang.
“Cuma masalahnya ialah cuaca hujan sekarang dan berlaku banyak tanah runtuh, selain jambatan rosak di beberapa kawasan, jadi menjejaskan kerja pembaikan jalan yang dilaksanakan,” katanya. – Info X