Search

Jalan Silam terputus hampir dua jam akibat air sungai melimpah

September 16, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Ribuan pengguna laluan Lahad Datu – Tawau, di sini, terkandas apabila Jalan Silam tidak dapat dilalui hampir dua jam akibat limpahan air sungai susulan hujan lebat, petang tadi.

Kejadian menyebabkan kenderaan dari kedua – dua arah terpaksa berhenti, manakala sebahagian pengguna jalan raya dilaporkan terkandas sehingga hampir jam 6 petang.

Tinjauan di lokasi mendapati air beransur surut sebelum kenderaan dibenarkan melalui laluan berkenaan secara perlahan dan terkawal.

Air sungai dipercayai melimpah ke atas jalan berikutan saluran aliran air yang kecil. Kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo kemudian mengambil tindakan menggali dan melebarkan saluran terbabit bagi melancarkan aliran air.

Pada masa sama, dakwaan yang tular mengatakan jambatan di kawasan berkenaan putus adalah tidak benar kerana gangguan perjalanan berpunca daripada limpahan air sungai.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, anggota polis diarahkan ke lokasi bagi mengawal lalu lintas dan memantau keadaan di kawasan terbabit.

“Setakat jam 6.30 petang, paras air sudah surut dan kenderaan mula dibenarkan melalui laluan berkenaan,” katanya.

Dzulbaharin turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya meningkatkan kewaspadaan ketika melalui kawasan berkenaan, terutama ketika hujan, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X