Search

Jalan utama Sandakan – Lahad Datu runtuh

May 26, 2026

Info X Reporters

KINABATANGAN: Jalan utama menghubungkan Sandakan dengan Lahad Datu di kawasan WP25 Sukau, di sini, runtuh awal pagi tadi hingga menjejaskan perjalanan ribuan pengguna jalan raya.

Kejadian itu dipercayai berlaku akibat struktur tanah yang mendap sehingga menyebabkan sebahagian jalan berkenaan mengalami kerosakan serius.

Pegawai Daerah Kinabatangan, Suhaimi Ejip ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah sudah diarahkan untuk segera menjalankan pemeriksaan di lokasi.

Katanya, langkah itu bagi mengenal pasti punca kejadian serta tindakan susulan yang perlu diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Kita sudah arahkan pihak JKR untuk turun ke lokasi dan melakukan penilaian segera terhadap keadaan jalan berkenaan.

“Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati ketika melalui kawasan itu selain bersabar dengan kesulitan yang berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, laluan di Sukau itu adalah antara jalan utama yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah selain menjadi sebahagian daripada jajaran projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang giat dilaksanakan.

Kerosakan jalan berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna terutama pemandu kenderaan berat yang menggunakan laluan itu setiap hari.

Sebelum ini, kejadian hampir sama turut dilaporkan berlaku di kawasan Silam, Lahad Datu yang dipercayai berpunca daripada keadaan tanah mendap dan tidak kukuh.

Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan pemantauan di lokasi kejadian sementara kerja pembaikan dan tindakan lanjut sedang diselaraskan. – Info X