Search

Jamawi komited angkat martabat petani, pekebun dan nelayan Sabah

December 29, 2025

Info X Reporters

TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menyatakan komitmennya untuk mengangkat martabat dan kesejahteraan masyarakat tani, pekebun kecil serta nelayan yang kebanyakannya tergolong dalam kumpulan B40.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, berkata usaha itu menjadi keutamaannya sejak dilantik ke portfolio berkenaan dalam Kabinet baharu kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Katanya, selaras dengan kepercayaan itu, beliau menegaskan usahanya untuk membantu komuniti luar bandar, termasuk di DUN Melalap yang diwakilinya dan berterima kasih atas kepercayaan memilih beliau sebagai wakil rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Sekarang adalah masa untuk bekerja kepada semua rakyat di kawasan Tenom dan Melalap. Jadi, tidak ada isu lagi, siapa sokong siapa, siapa undi siapa, sekarang adalah masa kerja untuk membantu rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Rumah Terbuka Natal DUN Melalap 2025 di Dewan Datuk Sanggau Jalang, di sini, pada Ahad.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang dan Ahli Parlimen Tenom yang juga Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Riduan Rubin.

Turut hadir isteri Jamawi, Datin Zainatunnisa Ibrahim, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong, Zakaria Jamal dan Ketua Daerah Tenom, OKK Tusib Tulas.

Jamawi berkata, banyak lagi program, terutama di kawasan pedalaman, Tenom dan Kemabong yang akan dilaksanakan di bawah kementeriannya.

“Kita akan bergerak secara selari supaya kita dapat usahakan yang terbaik untuk kawasan kita, begitu juga untuk negeri kita,” katanya.

Jelasnya, sebelum memegang jawatan lagi beliau sudah mengumumkan pendekatan untuk memperkasakan inisiatif Kebun Dapur sebagai wadah menyentuh kehidupan seramai mungkin masyarakat.

“Saya ingin membuka ruang dan peluang yang seluas-luasnya kepada orang kampung kita untuk terlibat dalam aktiviti pertanian di kawasan rumah sendiri dengan kos yang rendah, insyaAllah, kita akan lancarkan awal tahun depan.

“Saya lihat banyak perkara yang akan kita cuba usahakan membantu rakyat kita, membawa lebih banyak peruntukan dan kemajuan pertanian, ekonomi untuk anak-anak muda dan keperluan jalan-jalan pertanian.

“Mudah-mudahan, walaupun tahun depan peruntukan tidaklah banyak, kita mengharapkan supaya proses pengembalian 40 peratus cukai kepada Sabah yang sedang dimuktamadkan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat membantu lebih ramai petani, penternak, nelayan dan pengusaha industri makanan supaya dapat kita usahakan dengan cara yang lebih baik,” katanya.

Mengulas semangat perayaan, beliau berkata, Krismas membawa mesej sejagat mengenai kasih sayang, penerimaan dan kebersamaan yang sangat dekat di hati rakyat Sabah yang berbilang budaya dan kepercayaan.

“Majlis seperti ini bukan sekadar perayaan, tetapi ruang untuk kita saling mengenali dengan lebih dekat, mengukuhkan hubungan dan menghargai perbezaan sebagai satu kekuatan bersama,” katanya.

Beliau berharap menjelang 2026, semangat persahabatan akan terus diperkukuh bagi memastikan perancangan dan agenda kementerian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Ends