Search

Jamawi, Ruji, Yamani Hafez dilantik Ahli Biro Politik PKR Sabah

June 8, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar dilantik sebagai Ahli Biro Politik (Biropol) PKR Sabah.

Nama ADUN Melalap itu bersama dua lagi pemimpin baharu PKR Sabah diumumkan memegang jawatan berkenaan sebagai usaha memperkukuh struktur organisasi PKR di negeri ini.

Ketua Penerangan PKR Sabah, Farid Sainuri dalam satu kenyataan pada Isnin menyatakan dua lagi pemimpin yang dilantik ke jawatan itu ialah Datuk Ruji Ubi dan Datuk Yamani Hafez Musa.

Katanya, pengukuhan struktur organisasi parti di peringkat negeri bagi memastikan kesiapsiagaan jentera dan meningkatkan keberkesanan gerak kerja politik serta organisasi menjelang cabaran mendatang.

“Sehubungan itu, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah telah bersetuju melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam struktur kepimpinan negeri.

“Antara pelantikan yang dipersetujui adalah pelantikan tiga Ahli Biro Politik (Biropol) MPN Sabah yang baharu iaitu Datuk Jamawi Jaafar, Datuk Ruji Ubi dan Datuk Yamani Hafez Musa.

“Pelantikan ini diyakini akan memperkukuhkan lagi fungsi Biro Politik dalam memberikan pandangan strategik serta membantu memperkemas hala tuju parti di Sabah,” katanya.

Selain itu, PKR Sabah turut mengumumkan pelantikan Patrict Sulaiman sebagai Ketua Cabang PKR yang baharu dan Arastam Pandorog sebagai Ketua Cabang Semporna selepas kedua-dua Ketua Cabang sebelum ini keluar parti.

Farid turut mengumumkan pelantikan Ketua Cabang Tawau, Fung Thien Yin, sebagai Naib Pengerusi MPN III bagi mewakili Zon Tawau.

“Pelantikan ini bertujuan memperkukuhkan representasi kepimpinan mengikut zon serta memastikan suara dan keperluan akar umbi di kawasan Pantai Timur terus diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Farid berkata PKR Sabah turut menyatakan komitmen untuk membantu parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, sebagai tanda solidariti dan semangat perjuangan bersama, PKR Sabah akan menghantar pasukan sukarelawan bagi membantu gerak kerja kempen dan jentera pilihan raya di kedua-dua negeri.

“KEADILAN Sabah percaya bahawa kekuatan parti terletak pada kesatuan, disiplin organisasi dan kesediaan seluruh anggota untuk berkhidmat di mana sahaja diperlukan.

“Semangat inilah yang akan terus menjadi asas perjuangan parti dalam memperjuangkan agenda reformasi dan kebajikan rakyat,” katanya. – Info X