Search

Jangan hina agama, jaga perpaduan

March 18, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Rakyat negeri ini diingatkan supaya tidak melakukan apa-apa bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama atau kepercayaan.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sebarang isu berkaitan 3R iaitu agama, bangsa dan institusi diraja perlu dielak sama sekali demi menjaga perpaduan.

Beliau berkata, jika timbul isu 3R, ia bukan saja mencemarkan prinsip perpaduan, malah menyebabkan pelaku berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Seruan ini selaras dengan amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa pihak yang mahu menyemai bibit perpecahan dan mencabar perlembagaan, tidak boleh dibiarkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas tindakan seorang individu di negeri ini yang didakwa memuat naik komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah berhubung kes stoking yang dikesan ada kalimah Allah.

Nizam berkata, apa yang penting, umat Islam tidak melakukan apa-apa tindakan di luar lunas undang-undang dalam menangani hal itu.

“Kita perlu menyerahkan hal ini kepada pihak berkuasa. Saya difahamkan individu berkenaan sudah berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut.

“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan dan berharap perkara seperti ini tidak akan berulang,” katanya.

Jelasnya, tiada kompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negeri ini.

Katanya, rakyat Sabah perlu sentiasa memiliki sifat hormat menghormati dan memelihara toleransi yang terjalin sejak sekian lama.

“Toleransi dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama menjadi contoh kepada negeri lain di Malaysia,” katanya. – Info X