TAMBUNAN: Seluruh rakyat negeri ini mendesak dan menuntut hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk kelayakan 40 peratus hasil bersih dari negeri ini ditunaikan segera.
Penyelaras PGRS DUN Tambunan, Datuk Victor Peter Paut, berkata pemahaman rakyat Sabah ketika ini ialah hak-hak tersebut adalah hak milik mutlak negeri ini dan sepatutnya dikembalikan secara tuntas tanpa sebarang kompromi.
Beliau turut meminta agar Ahli Parlimen Sabah, terus menerus mendesak agar isu itu sentiasa dibangkitkan setiap kali persidangan Dewan Rakyat berlangsung.
“Rakyat Sabah hari ini mahukan pembangunan dan kemajuan yang setara dengan negeri-negeri lain.
“Ramai pemimpin kita hari ini berpendapat yang sama dan Persekutuan seharusnya segera bertindak, bukan sekadar janji dan beri gula-gula yang semata-mata bertujuan untuk melengah-lengahkan kelulusan.
“Rakyat sudah semakin muak dengan alasan demi alasan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, terdapat sebilangan pihak tertentu melabelkan Kerajaan Sabah yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai ‘dicucuk hidung’ tanpa memikirkan hal sedemikian secara lebih luas.
Katanya, Kerajaan Sabah tidak pernah sesekali tunduk di bawah telunjuk Persekutuan atau sebarang arahan yang wajib diikuti.
“Kerajaan Sabah mengamalkan toleransi dan terus menjaga hubungan baik antara kerajaan dengan kerajaan (Sabah dan Persekutuan).
“Amalan berunding secara baik tetapi tegas dengan pendirian harus terus berjalan sehingga ada keputusan tuntas dalam suasana harmoni.
“Semua di kalangan kita anak Sabah sangat menginginkan hak Sabah itu dituruti dan isu 40 peratus itu selesai secara baik.
“Kita anak Sabah dahagakan pembangunan, kemajuan dan kemakmuran setanding Tanah Semenanjung dan Sarawak,” katanya.
Sebagai Penyelaras PGRS DUN Tambunan dan salah seorang teraju kepimpinan daerah pedalaman, beliau turut sama berada dalam kelompok yang menuntut Persekutuan menjelaskan dan menyelesaikan isu itu dengan tuntas tanpa sebarang kompromi. – Info X