Search

Jangan percaya ‘profesor 2 minit’ di media sosial – Razali

June 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Orang ramai, khususnya golongan muda diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang disebarkan pempengaruh tidak bertauliah atau digelar ‘profesor dua minit’ di mana-mana platform media sosial.

Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi berkata, trend semasa memperlihatkan ramai yang lebih gemar mempercayai kandungan video pendek tanpa menyemak kesahihan fakta.

Katanya, keadaan itu membuka ruang kepada penularan maklumat tidak tepat melalui media sosial, khususnya berkaitan politik, agama dan kesihatan.

“Sekarang ini menjadi satu trend, tapi apa yang berlaku, pempengaruh ini tidak berada di lapangan, berbeza dengan orang politik seperti kami yang turun padang, mendengar, melihat dan mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Bahagian Gagasan Rakyat Api-Api, di sini, pada Ahad.

Razali turut menegaskan bahawa budaya membuat kenyataan hanya untuk meraih populariti atau pengikut di media sosial perlu dibendung.

Katanya, setiap individu harus bertanggungjawab terhadap apa yang mereka sebarkan melalui media sosial.

“Ini bukan soal populariti tapi yang penting, fakta itu perlu tepat. Apa yang benar kita maklumkan, apa yang tidak betul jangan digembar-gemburkan,” katanya.

Razali yang juga seorang peguam turut mengingatkan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah, sambil memberi amaran bahawa ramai yang mungkin disaman jika tindakan itu diambil secara menyeluruh.

“Jangan sebab dua minit kita terpengaruh dan diracuni oleh fakta yang tidak sahih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati masyarakat agar rajin mencari ilmu dan tidak mengamalkan jalan pintas dalam memahami sesuatu isu.

“Kalau kita amal ilmu shortcut, bukan saja kita boleh sesat dalam fakta politik, tapi juga dalam ibadah, hukum halal haram dan juga soal perubatan.

“Jadi kena rajin cari ilmu, bukan hanya percaya pada video dua minit,” katanya lagi.

Beliau memberikan nasihat itu berikutan gelombang penyebaran maklumat separa benar di media sosial yang semakin meningkat khusus menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Perkara itu dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab yang cuba mengelirukan rakyat dengan fakta tidak benar.

Ia sekali gus menuntut kesedaran dan ketelitian pengguna media sosial dalam menilai ketepatan dan kesahihan sumber maklumat yang diterima. – Info X