PAPAR: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd diarah untuk membina muka sauk kedua bagi membekal air mentah dari Sungai Papar ke Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau, di sini.
Arahan itu dikeluarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagi mengatasi krisis bekalan air yang dihadapi penduduk daerah ini berikutan penutupan LRA berkenaan disebabkan air sungai di lokasi muka sauk sedia ada dicemari tahap kemasinan yang tinggi.
Katanya, muka sauk kedua itu dicadangkan di Kampung Kabang yang terletak lebih jauh menghala ke hulu Sungai Papar bagi mengelak kemasukan air masin yang menyebabkan LRA EWSS Linbahau ditutup.
“Cadangan muka sauk kedua di Kampung Kabang ini akan menyelesaikan isu kemasinan yang tinggi yang berlaku di muka sauk pertama di Kampung Limbahau,” katanya ditemui selepas meninjau LRA EWSS Limbahau, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini mencadangkan bahawa pembinaan muka sauk kedua itu sesuai sebagai alternatif mendapatkan air mentah dari Sungai Papar apabila muka sauk sedia ada bermasalah.

Berdasarkan taklimat Jurutera Air Daerah, Afiq Abqari Nain kepada Ketua Menteri, tahap kemasinan air Sungai Papar di muka sauk LRA EWSS Limbahau ketika ini melebihi 4,000 miligram per liter (mgL), terlalu tinggi berbanding piawaian maksimum pada tahap 120 mgL.
Keadaan itu disebabkan air masin memasuki Sungai Papar hingga sejauh 13 kilometer dari kuala, melepasi LRA EWSS Limbahau yang jaraknya hanya kira-kira lapan kilometer dari kuala Sungai Papar.
Hajiji turut dimaklumkan bahawa penutupan LRA EWSS Limbahau sejak 17 Februari lalu, serentak dengan LRA Jetama dan Kogopon yang belum beroperasi sepenuhnya, menyebabkan penurunan pengeluaran air bersih kepada 35 juta liter sehari (MLD) berbanding kapasiti asal 63 MLD.
“Saya datang hari ini untuk melihat situasi sebenar di Papar yang memerlukan tindakan bersepadu daripada semua agensi yang berkaitan. Berdasarkan taklimat Pegawai Daerah, Jurutera Daerah dan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), saya lihat sudah ada tindakan yang diambil untuk mengurangkan beban rakyat.
“Kita akan buat apa saja untuk membantu rakyat, ini yang penting,” katanya.
Ketua Menteri juga dimaklumkan bahawa penutupan LRA Limbahau dan kemarau yang berpanjangan menyebabkan berlaku kekurangan air yang kritikal yang menjejaskan kira-kira 150,000 orang di daerah ini.
Berikutan itu, Hajiji berkata penghantaran air menggunakan lori akan diteruskan dan kerajaan negeri akan membayar bil untuk air tambahan.
Pada masa sama, katanya pembenihan awan juga akan dilaksanakan di kawasan tadahan air bergantung kepada awan yang sesuai. – Info X