KUNAK: Jabatan Air Kunak memotong sebanyak tiga sambutan paip haram di Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) Lama, di sini menerusi OP Lampau, pagi tadi.
Pegawai Kerja Air Daerah Kunak, Mohd Shuaizan Mohd Yunus berkata pihaknya menjalankan operasi pemotongan kes kecurian lama di kawasan berkenaan.
Katanya, operasi pemotongan paip haram berkenaan telah dilakukan bermula dari jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari di kawasan penempatan Jalan JKR Lama.
“Kita mendapati terdapat tiga sambungan lama curi air daripada paip Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bersaiz empat inci di sambung terus ke paip satu inci pengguna.
“Penguatkuasa Jabatan Air Kunak kini sedang giat menjalankan operasi mengesan pengguna yang membuat penyambungan paip haram di daerah ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Shuaizan memberi amaran kepada semua pengguna di daerah ini supaya tidak melakukan kesalahan membuat penyambungan paip haram kerana ia merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.
Menurutnya, pengguna yang didapati mencuri air boleh diambil tindakan berat mengikut Peraturan Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003.
“Sekiranya didapati bersalah, pengguna boleh disiasat mengikut Seksyen 49(b) yang boleh dikompaun sebanyak RM25,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua nya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menghubungi careline Jabatan Air Negeri Sabah di talian 088-326888 untuk sebarang membuat aduan berkaitan masalah air,” katanya. – Info X