Search

Jari kanak-kanak tersepit di eskalator

July 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun terpaksa menahan sakit hampir setengah jam apabila jari tangan kanannya tersepit pada eskalator di sebuah pusat beli belah di Plaza Juta, Likas, di sini, malam ini.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.50 malam.

Susulan itu, katanya sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi bagi membantu mangsa.

“Sebaik tiba, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan jari kanak-kanak yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas (L-Key).

“Seterusnya mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan jari kanak-kanak yang tersepit pada eskalator. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke hospital dengan menggunakan jentera EMRS.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 8.10 malam,” Katanya. – Info X