KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun akan bersara wajib mulai 11 November ini selepas berkhidmat lebih 32 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Persaraan beliau dimaklumkan ketika kunjungan hormat perpisahan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, di sini, pada Rabu.
Pada pertemuan itu, Hajiji merakamkan penghargaan atas segala khidmat bakti dan sumbangan Jauteh sepanjang berkhidmat dalam PDRM, khususnya dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah.
Ketua Menteri turut berharap hubungan erat dan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dengan PDRM akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa terpelihara.

Sementara itu, Jauteh merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Hajiji, atas sokongan padu membantu memperkukuh prasarana dan logistik PDRM Kontinjen Sabah.
Beliau berkata, bantuan Kerajaan Negeri, khususnya penyediaan tapak tanah, membolehkan pembinaan dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu di Kalabakan dan Nabawan dimulakan menerusi majlis pecah tanah di kedua-dua lokasi, baru-baru ini.
Katanya, Kerajaan Negeri turut menyediakan bantuan khas bagi menaik taraf 20 pondok polis di seluruh Sabah, sekali gus membantu meningkatkan kemudahan logistik dan prasarana pasukan.
Jauteh berkata, kerjasama erat Kerajaan Negeri turut membantu PDRM menangani pelbagai isu keselamatan serta mempercepat penyediaan prasarana dan logistik bagi meningkatkan keupayaan pasukan PDRM di Sabah.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ribuan terima kasih bagi pihak PDRM Sabah kepada Ketua Menteri atas sokongan penuh yang diberikan sepanjang saya berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah,” katanya. – Info X