Search

Jawatan KPD Kinabatangan bukan amanah ringan – Janeve

August 28, 2026

Info X Reporters

KINABATANGAN: Ketua Polis Daerah Kinabatangan yang baharu, Superintendan Janeve Sindih bertekad melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman masyarakat di daerah itu dengan penuh komitmen, ketegasan serta kebijaksanaan.

Janeve yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berkata, pelantikan berkenaan bukan sekadar membawa perubahan pangkat dan gelaran, sebaliknya menjadi pengiktirafan terhadap amanah serta tanggungjawab lebih besar yang perlu dipikul.

“Saya sedar jawatan Ketua Polis Daerah bukan satu jawatan yang ringan. Ia menuntut komitmen, ketegasan, kebijaksanaan dan kesediaan memikul tanggungjawab dalam apa juga keadaan.

“Saya menerima pelantikan ini dengan penuh rasa rendah diri dan akan menjadikannya sebagai satu amanah yang dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kinabatangan, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan turut dihadiri Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah, Datin Nurhayatie Farhana Abdullah.

Turut hadir, Timbalan Ketua Cawangan khas Risikan dan Operasi Kontinjen Sabah, Asisten Komisioner Kamarudin Sulaiman; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil serta beberapa ketua polis daerah dan pegawai kanan PDRM.

Sementara itu, Janeve turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan PDRM, khususnya kepimpinan PDRM Sabah, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Menurutnya, setiap kenaikan pangkat membawa bersama kepercayaan organisasi dan harapan lebih tinggi terhadap pegawai yang menerimanya.

“Saya melihat hari ini bukan sebagai titik akhir kepada satu perjalanan, tetapi permulaan kepada amanah baharu.

“Kepercayaan yang diberikan adalah satu tanggungjawab yang akan saya jaga,” katanya.

Beliau turut menghargai pengorbanan isterinya, Chong Set Fui, yang juga Pengerusi PERKEP IPD Kinabatangan, serta anak-anak dan seluruh ahli keluarga sepanjang perkhidmatannya dalam PDRM.

Katanya, di sebalik setiap kenaikan pangkat, pertukaran penempatan dan tuntutan tugas, terdapat pengorbanan isteri serta keluarga yang tidak selalu kelihatan.

“Pencapaian yang diterima hari ini bukan kejayaan saya seorang, sebaliknya turut menjadi kejayaan keluarga yang banyak berkorban dan memberikan sokongan,” katanya. – Info X