KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan menyatakan tempoh masa jawatan Perdana Menteri (PM) perlu mempunyai had bagi mengelakkan berlaku masalah salah guna kuasa.
“Seperti di Sabah, kerajaan negeri sudah mencadangkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa jawatan Ketua Menteri adalah dua penggal.
“Hal yang sama juga perlu bagi jawatan PM kerana dua jawatan ini adalah pemimpin tertinggi dalam negara dan negeri.
“Wajar sekiranya jawatan pemimpin tertinggi seperti ini ada had masa kerana kita mahu mengelakkan salah guna kuasa selain perlu menjaga kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
“Sekiranya tiada had masa, sudah tentu kepimpinan dan idea-idea baharu dari pemimpin muda akan tidak dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata, penetapan had bagi tempoh masa memegang sesuatu jawatan dalam pemerintahan juga perlu kerana ia dilihat lebih pragmatik.
“Selain itu, ia dilihat lebih praktikal dan realistik kerana secara logiknya seseorang akan mempunyai tempoh tertentu dalam mengendalikan atau melakukan sesuatu.
“Prestasi atau hasil akan mulai terjejas apabila sudah melepasi tempoh masa yang terlalu lama.
“Misalnya aspek pemerintahan, apabila terlalu lama seseorang itu berada pada posisi tertentu, pasti akan timbul masalah seperti salah laku, biarpun mungkin ada juga yang konsisten dan kekal cemerlang dalam memikul tanggungjawab yang dipegang,” katanya. – Info X