KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan memberi keterangan lebih lima jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Khamis.
Presiden STAR itu memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu dari jam 5.30 petang hingga 11 malam.
Setiausaha Politik beliau, Anuar Ghani, berkata Jeffrey memberi kerjasama penuh hingga selesai memberi keterangan.
Beliau menasihatkan semua pihak untuk membenarkan siasatan diteruskan tanpa sebarang campur tangan dan menunggu hasilnya nanti.
“Orang ramai dan ahli STAR digesa tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya menghornati undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Penerangan STAR berkata, apa yang penting ketika ini adalah untuk mengekalkan tumpuan terhadap isu lebih besar yang dihadapi Sabah seperti hak terhadap 40 peratus hasil Sabah dan hak wilayah berkaitan minyak dan gas.
Turut perlu diberi perhatian katanya ialah usaha mencegah banjir, perubahan iklim dan kepentingan sosial yang memerlukan perhatian bersama.
“Kami mengambil perhatian bahawa sistuasi semasa boleh digunakan untuk mempengaruhi persepsi negatif orang ramai, merendahkan reputasi dan kredibiliti pemimpin Sabah, terutama mereka yang menentang dominasi dari Malaya.
“Taktik seumpama itu berisiko mengurangkan keyakinan rakyat Sabah terhadap pemimpin tempatan. Jika imej dan kedudukan kepimpinan Sabah dirosak dan dicalarkan, wujud bahaya rakyat Sabah mungkin beralih mencari pemimpin yang dikatakan ‘baik dan bersih’ dari luar Sabah, membuka pintu kepada parti Malaya bagi mempengaruhi dan mengawal hal ehwal Sabah,” katanya.
Beliau berkata, keputusan siapa yang mentadbir Sabah terserah kepada rakyat negeri ini.
“Rakyat Sabah sendiri mesti menentukan pemimpin masa hadapan mereka. Pilihan di tangan mereka dan biarkan peti undi yang memutuskan,” katanya. – Info X