KOTA KINABALU: Pembinaan sebuah jejantas pejalan kaki melintasi landasan kereta api di Petagas disenaraikan antara projek yang dilaksanakan menerusi Belanjawan Sabah 2025.
Senarai projek itu didedahkan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.
Katanya, projek itu antara yang dilaksanakan di bawah peruntukan RM63.61 juta bagi tahun depan selain dua projek kajian berkaitan pembangunan kereta api di negeri ini.
“Bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kereta api, sebanyak RM63.61 juta diperuntukkan kepada Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) tahun depan.
“Selain dua projek berbentuk kajian yang disebutkan Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, peruntukan ini juga untuk menampung beberapa pelaksanaan projek dan perolehan.
“Ia membabitkan perolehan enam ‘Diesel Multiple Unit (DMU) Powered Cars (PC) serta perolehan seunit lokomotif dan dua unit DMU Non-Powered Cars (NPC).
“Seterusnya ialah projek pembinaan enam perhentian kecil di sektor Kinarut – Sembulan untuk perkhidmatan komuter dan sebuah jejantas pejalan kaki di Petagas,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan bagi tahun depan itu juga digunakan untuk pembaikan cerun dan tebing sungai di sektor Gorge Line Beaufort – Tenom.
Semalam, seorang wanita maut, manakala anaknya cedera parah akibat dirempuh kereta api ketika cuba melintasi landasan di Petagas.
Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke Kampung Muhibbah, Petagas selepas mengambil anaknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas dengan berjalan kaki.
Ketiadaan jejantas melintasi kawasan landasan kereta api memaksa pejalan kaki di kawasan itu menggunakan laluan di lintasan rata yang agak jauh, selain laluan tikus di antara pagar landasan yang terdedah. – Info X