KOTA KINABALU: Bekas pemain dan jurulatih skuad Badak, Jelius Ating menjadi jurulatih pertama dari Sabah yang memiliki Lesen Kejurulatihan Pro A.
Ia sekali gus melayakkan bekas ‘orang besi’ Sabah itu untuk mengendalikan pasukan Liga Super Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Dr Jelani Hamdan yang menyatakan penghantaran Jelius untuk mengikuti kursus lesen berkenaan merupakan sebahagian perancangan jangka masa panjang SAFA untuk pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.
Katanya, ia strategi jangka masa panjang SAFA supaya jurulatih tempatan memiliki kelayakan untuk mengendalikan pasukan Liga Super pada masa akan datang.
“Kita tidak lagi tercari-cari orang tempatan yang ada kelayakan sedemikian,” katanya.
Jelius merupakan jurulatih yang membimbing pasukan Sabah untuk menjuarai Liga Perdana pada 2019 yang membolehkan pasukan itu dinaikkan ke saingan Liga Super, yang kemudian dijadikan sebuah kelab profesional dikenali sebagai Sabah FC.
Kelab itu pada awalnya dibimbing jurulatih Kuniawan Dwi Yulianto dari Indonesia sebelum diambil alih jurulatih Datuk Ong Kim Swee kemudian. – Info X