Search

Jenayah komersial di Sabah, kerugian cecah RM133.35 juta

November 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jenayah komersial di Sabah mencatatkan kerugian mencecah RM133.35 juta sepanjang Januari hingga Oktober lalu, dengan sebanyak 12,962 laporan polis diterima membabitkan pelbagai kesalahan termasuk penipuan dalam talian.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, sepanjang tempoh berkenaan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah membuka 3,282 kertas siasatan susulan laporan yang diterima.

Katanya, sebanyak 1,452 serbuan dilaksanakan dengan 2,034 tangkapan direkodkan, manakala 1,005 kes berjaya dituduh di mahkamah.

“Jenayah komersial kini semakin kompleks seiring kemajuan teknologi dan memerlukan pendekatan penguatkuasaan lebih proaktif, bersepadu serta berorientasikan pencegahan.

“Justeru, pelbagai program kesedaran awam terus dipergiat bagi meningkatkan kewaspadaan masyarakat terhadap trend dan modus operandi jenayah komersial, khususnya penipuan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi November 2026 yang turut menyaksikan peluncuran projek pembinaan Dewan Pengaman Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Jauteh berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah turut mencatatkan kejayaan besar apabila merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM287.14 juta sepanjang tempoh sama.

Katanya, rampasan itu membabitkan 4,051.18 kilogram syabu, 451.8 kilogram serbuk ekstasi, 70.9 kilogram pil ekstasi, 51.68 kilogram ketamin dan 44.3 kilogram bunga ganja.

“Seramai 33 suspek terdiri daripada 26 lelaki dan tujuh wanita ditahan dalam kes berprofil tinggi membabitkan rampasan dadah seberat 10 kilogram ke atas.

“Secara keseluruhan, JSJN Sabah merekodkan 14,238 tangkapan membabitkan 9,894 warga tempatan dan 4,344 warga asing,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah turut merekodkan ribuan tangkapan menerusi pelbagai operasi membanteras kegiatan jenayah.

Katanya, Cawangan D4 melaksanakan 2,225 operasi dengan 2,214 tangkapan, manakala Cawangan D7 mencatatkan 2,064 operasi dengan 2,857 tangkapan.

“Cawangan D9 pula melaksanakan 471 operasi dengan 504 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk bunuh, samun, ragut dan penyeludupan,” katanya.

Mengulas penguatkuasaan trafik, Jauteh berkata, sebanyak 16,651 kertas siasatan dibuka dengan 16,043 daripadanya berjaya diselesaikan.

Katanya, sebanyak 453 operasi membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol dilaksanakan dengan 2,878 saman dikeluarkan, manakala 411 operasi kenderaan perdagangan menyaksikan 18,983 kenderaan diperiksa dan 1,493 saman dikeluarkan.

Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan PDRM Sabah dalam memperkukuh penguatkuasaan, membanteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara. – Info X