KOTA KINABALU: Jenazah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, di sini, jam 2.10 petang, hari ini.
Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan apabila lebih 1,000 orang hadir, termasuk ahli keluarga, sahabat terdekat Allahyarham untuk memberi penghormatan terakhir.
Mereka dilihat tidak dapat menahan sebak, menggambarkan kehilangan pemimpin itu cukup dirasai di mata rakyat.

Jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan pada 1.45 tengah hari selepas disolatkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Antara yang hadir termasuklah Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beberapa menteri kabinet serta pemimpin politik negeri.
Terdahulu media melaporkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta pada 1.46 pagi tadi.
Sementara itu, anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar dalam ucapan penuh emosi selepas pengebumian berkata pemergian ayahandanya pada malam Jumaat adalah satu bentuk kemuliaan yang jarang dianugerahkan.

Katanya, hujan renyai yang turun sejurus selesai pengebumian seakan-akan menjadi ‘rahmat terakhir’ buat ayahandanya yang kembali kepada Pencipta dengan cara yang sangat dicemburui setiap mukmin.
Naim turut merakamkan penghargaan kepada para imam, petugas jenazah, penggali kubur, saudara-mara, jiran tetangga serta ribuan yang hadir tanpa mengira penat lelah untuk membantu menjayakan urusan terakhir Allahyarham.
Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada pemimpin negara dan negeri termasuk Tun Musa Aman, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang hadir memberi penghormatan, sambil menyifatkan sokongan itu sebagai sesuatu yang amat bermakna buat keluarganya.
“Dengan rendah hati, kami mohon semua terus menghadiahkan Al-Fatihah dan doa buat ayahanda. Semoga Allah menempatkannya dalam kalangan hamba-hambanya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Naim turut memaklumkan bahawa majlis tahlil akan diadakan di kediaman keluarga di Kota Kinabalu pada jam 7.30 malam ini. – Info X