KOTA KINABALU: Jenazah bekas ADUN Bongawan, Allahyarham Datuk Karim Bujang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Brunei, Kimanis pada kira-kira jam 5.30 petang tadi.
Sebelum itu, jenazah Allahyarham dimandi dan disembahyangkan di Surau Kampung Sipanggil, Putatan, sebelum dibawa ke Masjid Imam Abdullah, di kampung halamannya di Kampung Brunei, Kimanis.
Allahyarham yang berkhidmat sebagai ADUN Bongawan dari 1990 hingga 2013 meninggalkan seorang balu, Datin Maimun Pg Bagul dan dua orang anak lelaki serta tiga cucu.
Terdahulu, bekas Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri itu dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan pada tengah hari tadi.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Allahyarham Datuk Karim Bujang sebagai seorang pemimpin politik yang banyak menyumbang bakti kepada negeri, khususnya sepanjang berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013.
Beliau menyampaikan salam takziah kepada balu Allahyarham, Datin Maimun Pg Bagul dan seluruh keluarga arwah berikutan pemergian bekas Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri itu, hari ini.
“Semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi rasa kehilangan dan saat yang sukar ini.
“Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan dosa-dosa beliau dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya menerusi perkongsian di Facebook beliau.
Turut berkongsi salam takziah ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang turut bersama menunaikan solat jenazah di Masjid As-Sobirin Kampung Sipanggil, Putatan.
“Salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Datuk Karim Bujang yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi, Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd Arifin Arif, menyifatkan nama Allahyarham tetap terpahat dalam sejarah politik, pembangunan dan kepimpinan di daerah Membakut.
“Allahyarham seorang pemurah, suka menolong dan sedia berkongsi pendangan dan pengalaman. Beliau petah berbicara dan cerdik berhujah serta seorang yang ceria.
“Bahagian Kimanis yang meliputi DUN Membakut dan DUN Bongawan kehilangan seorang tokoh pemimpin yang berjasa,” katanya yang juga ADUN Membakut.
DUN Membakut adalah sebahagian daripada DUN Bongawan ketika ia diwakili Karim sebelum dua kawasan itu dipisahkan menerusi kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2004.-Info X