KOTA KINABALU: Syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd akan mengkaji penggunaan teknologi baharu dalam usaha mengurangkan isu gangguan bekalan air yang sering berlaku di negeri ini.
Pengerusi Jetama Water Sdn Bhd, Liau Fui Fui, berkata antara teknologi yang dipertimbangkan ialah penggunaan alat yang dapat mengurangkan pemerangkapan udara dalam sistem paip.
Katanya, teknologi itu yang dipamerkan pada ekspo Asiawater Versi Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, dilihat mampu mengatasi gangguan bekalan air yang disebabkan udara terperangkap dalam paip.
“Salah satu teknologi yang saya lihat ialah teknologi untuk mengurangkan ‘air lock’ (udara terperangkap) dalam paip dan meningkatkan tekanan air dengan lebih cepat.
“Ini memang sangat diperlukan di Sabah kerana kita sering berdepan dengan gangguan bekalan air. Jadi, dengan teknologi seperti ini, kita boleh meningkatkan tekanan air dan mempercepatkan pemulihan bekalan kepada penduduk.
“Kita akan berbincang dengan pasukan teknikal mengenainya dan akan kaji sama ada boleh dilaksanakan atau tidak,” katanya ditemui media pada majlis pelancaran Asiawater Versi Sabah di SICC pada Rabu.
Ekspo dan forum antarabangsa berkaitan teknologi air selama dua hari itu disempurnakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Asiawater Versi Sabah dihadiri kira-kira 2,000 peserta dari beberapa negara Asia Tenggara itu dianjurkan Informa Markets dengan Jetama sebagai rakan strategiknya.
Sementara itu, Fui Fui berkata persidangan Asiawater biasanya diadakan di bandar-bandar besar di Asia Tenggara yang turut disertai Jetama, antaranya di Vietnam, Manila, Filipina dan Jakarta, Indonesia.
“Tapi kali ini kita berjaya menjayakannya bersama sebagai rakan strategik, iaitu sebagai penaja utama untuk acara ini dan kita berharap dapat membawa teknologi serta ilmu pengetahuan baharu ke negeri kita,” katanya.
Beliau berkata, objektif utama program itu dibawa ke Sabah pada kali ini adalah untuk membawa masuk teknologi dan ilmu baharu ke negeri ini.
“Harapan kita supaya boleh meningkatkan bekalan air kita dan menyelesaikan isu gangguan bekalan air dengan sistem teknologi baharu yang mereka perkenalkan di sini.
“Selain itu, sudah tentu salah satunya adalah untuk merancakkan industri pelancongan di Sabah,” katanya.
Kebanyakan peserta katanya terbabit dalam industri air yang datang dari luar Sabah, khususnya negara jiran sekitar Asia Tenggara.
Jetama ialah syarikat konsesi air bagi kawasan pantai barat Sabah yang bertanggungjawab membekalkan air terawat di Kota Kinabalu dan daerah berhampiran.
Ketika ini, Jetama melalui anak syarikatnya Jetama Water Sdn Bhd mengendalikan enam loji rawatan air (LRA) dengan jumlah kapasiti 330 juta liter sehari (MLD) iaitu LRA Moyog, Kasigui, Papar, Telibong, Tamparuli dan Tuaran.
Syarikat itu juga mengendali dan menyelenggara Empangan Babagon, paip transmisi sepanjang 200 kilometer dan 30 takungan air. – Info X