KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa berlaku kesesakan melampau di Depot Tahanan Imigresen (DTI) negeri ini sehingga mengakibatkan ramai tahanan warga Filipina meninggal dunia.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan.
Katanya, gambar yang tular di media sosial juga bukan merujuk kepada mana-mana Depot Tahanan Imigresen di bawah seliaan JIM Sabah.
“Semua tahanan warga Filipina yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Sabah berada dalam keadaan baik sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal.
“Sepanjang tempoh tahanan, mereka diberikan layanan dan perlindungan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur operasi yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua tahanan turut menerima kemudahan asas termasuk makanan yang disediakan mengikut jadual serta menu dan keperluan nutrisi yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau berkata, tahanan juga diberi akses kepada rawatan perubatan apabila diperlukan selain keperluan asas lain sepanjang berada di depot tahanan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan proses penghantaran pulang warga Filipina melalui laluan kapal dari Sandakan ke Zamboanga yang sebelum ini menjadi laluan utama repatriasi telah digantung oleh pihak berkuasa Filipina sejak Februari lalu.
“Keadaan itu memberi kesan kepada kelancaran proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal.
“Bagaimanapun, bagi memastikan proses repatriasi terus berjalan, JIM Sabah menggunakan laluan alternatif iaitu penerbangan dari Kota Kinabalu ke Manila serta laluan laut dari Lahad Datu ke Bongao,” katanya.
Katanya, pelaksanaan penghantaran pulang melalui laluan alternatif itu bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan keluarga tahanan untuk menanggung kos perjalanan.
Sehubungan itu, Sitti Saleha berkata, JIM Sabah kekal komited memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua tahanan terus terpelihara di samping melaksanakan proses penghantaran pulang mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat, gambar dan kandungan yang tidak sahih sehingga boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Orang ramai disaran mendapatkan maklumat yang tepat hanya melalui saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya. – Info X